NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Lebih 4.1 juta penduduk tinggalkan Ukrain


GENEVA: Hampir 4.14 juta rakyat Ukraine meninggalkan negara itu sejak pencerobohan besar-besaran Russia bermula 24 Februari lalu , dengan puluhan ribu penduduk terus membanjiri negara jiran setiap hari, lapor Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) hari ini berkata, seramai 4,137,842 rakyat Ukraine melarikan diri dalam tempoh hanya lima minggu, iaitu peningkatan sebanyak 34,966 mengikut angka yang direkodkan pada Jumaat.

Wanita dan kanak-kanak menyumbang 90 peratus daripada jumlah rakyat yang meninggalkan Ukraine, dengan lelaki berumur 18 hingga 60 tahun layak untuk berkhidmat sebagai tentera dan tidak dibenarkan keluar dari negara itu.

Pertubuhan Antarabangsa untuk Migrasi (IOM) berkata, selain pelarian Ukraine, hampir 205,500 individu yang bukan dalam kalangan warganya iaitu yang tinggal, belajar atau bekerja di negara itu juga mengambil langkah sama.

Menurut IOM, hampir 6.48 juta orang dianggarkan kehilangan tempat tinggal di Ukraine pada pertengahan Mac lalu.

Ini menjadikan jumlah orang yang dipindahkan akibat konflik itu melebihi 10 juta, atau sekitar satu perempat daripada jumlah penduduk keseluruhan Ukraine.

Dalam perkembangan berkaitan, kanak-kanak turut dilaporkan terjejas.

Agensi Kanak-kanak PBB (UNICEF) berkata, minggu lalu lebih separuh daripada anggaran 7.5 juta kanak-kanak di negara itu telah kehilangan tempat tinggal dengan 2.5 juta orang masih berada di Ukraine, manakala dua juta orang lagi berada di luar negara.

Mengikut statistik PBB, hampir enam daripada 10 pelarian Ukraine atau seramai 2,405,703 orang setakat ini telah menyeberang ke Poland.

UNICEF berkata, lebih daripada 1.1 juta kanak-kanak Ukraine berada di Poland.

Selain itu, sejumlah 629,917 rakyat Ukraine telah memasuki negara anggota Kesatuan Eropah (EU), termasuk sebilangan besar yang menyeberang dari Moldova, iaitu sempadan antara Romania dan Ukraine.

Program Makanan Sedunia PBB turut dimulakan dengan bantuan tunai untuk 100,000 pelarian dan keluarga tuan rumah di negara yang memberikan perlindungan kepada mereka. - AFP




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo