NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Muhyiddin ambil inisiatif rintis kerjasama antara parti menjelang PRU-15


KUALA LUMPUR: Presiden BERSATU Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau mengambil inisiatif untuk bertemu dengan pimpinan utama parti politik dalam kerajaan dan pembangkang bagi merintis hubungan kerjasama dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Muhyiddin memaklumkan, selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor bulan lalu, beliau didatangi beberapa pemimpin parti politik yang menyuarakan pandangan supaya parti selain Barisan Nasional (BN) merintis satu bentuk kerjasama politik bagi mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15.

Pertemuannya dengan Pengerusi PEJUANG, Tun Dr Mahathir Mohamad kira-kira dua minggu lalu adalah sebahagian daripada inisiatif berkenaan, yang diatur selepas seorang pemimpin kanan PEJUANG datang menemuinya.

"Ini adalah langkah awal untuk mendapatkan pandangan pemimpin parti politik dan tiada keputusan muktamad dibuat," kata Muhyiddin melalui kenyataan di Facebook, hari ini.

Kelmarin, Presiden PEJUANG, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata Muhyiddin bertemu Dr Mahathir kira-kira dua minggu lalu dan mencadangkan kerjasama kedua-dua parti itu untuk menghadapi PRU-15.

Semalam, Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin pernah meminta sokongannya dalam usaha untuk menjadi Perdana Menteri sekali lagi namun beliau tidak diberitahu mengapa Ahli Parlimen Pagoh itu meminta sokongannya.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, pemimpin parti politik yang menemuinya sedar majoriti rakyat tidak menyokong BN yang didakwa masih terpalit dengan imej kleptokrasi, namun disebabkan berlaku pertembungan banyak penjuru antara parti politik yang bertanding, undi anti-BN berpecah.

"Ini menyebabkan BN dapat memenangi PRN Melaka dan Johor walaupun ditolak majoriti rakyat.

"Mereka sependapat untuk sebolehnya mengelakkan pertembungan banyak penjuru dalam PRU-15 bagi menghalang golongan kleptokrat dalam BN kembali berkuasa. Pandangan seumpama ini juga disuarakan oleh ramai penganalisis politik," katanya.

Pada PRN Melaka, BN memperoleh 21 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan, manakala pada PRN Johor, BN memenangi 40 daripada 56 kerusi DUN.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo