NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PM ingatkan rakyat tak leka rai Ramadan

Perdana Menteri mengingatkan umat Islam supaya tidak leka sepanjang meraikan Ramadan, sebaliknya terus mengamalkan kawalan kendiri bagi mencegah penularan COVID-19 walaupun kelonggaran sudah diberikan termasuk bagi menunaikan ibadah di masjid.

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengingatkan umat Islam supaya tidak leka sepanjang meraikan Ramadan, sebaliknya terus mengamalkan kawalan kendiri bagi mencegah penularan COVID-19 walaupun kelonggaran sudah diberikan termasuk bagi menunaikan ibadah di masjid.

Perdana Menteri berkata, sepanjang diuji dengan pandemik COVID-19, umat Islam di Malaysia tidak dapat mengimarahkan masjid seperti menganjurkan majlis berbuka puasa dan moreh, manakala solat fardu dan tarawih berjemaah terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Katanya, Malaysia kini berada dalam fasa peralihan ke endemik bermula semalam yang membolehkan Keluarga Malaysia kembali kepada kehidupan normal, dapat merapatkan saf untuk menunaikan solat fardu dan tarawih secara berjemaah serta menyemarakkan program ihya Ramadan, tertakluk kepada ketetapan pihak berkuasa agama negeri masing-masing.

"Kita percaya ramai yang ingin pulang ke kampung halaman masing-masing untuk menyambut Ramadan kali ini kerana tidak berpeluang menyambutnya pada Ramadan lalu. Walaupun diberikan kelonggaran, pemakaian pelitup muka di tempat awam masih diwajibkan. Jangan leka dan terus mengamalkan kawalan kendiri," katanya.

Dalam ucapan khas sempena Ramadan 1443 Hijrah yang disiarkan di stesen televisyen tempatan malam ini, Ismail Sabri turut menegaskan, amat penting bagi umat Islam memelihara hubungan, bukan sahaja dengan Maha Pencipta, tetapi juga sesama manusia.

"Ramadan bulan penuh barakah ini adalah peluang untuk menginsafi diri dan mengumpul pahala dengan memperbanyak amalan bersedekah. Semoga Ramadan dapat memperkuatkan aspek rohani Keluarga Malaysia. Saya mengucapkan selamat menyambut Ramadan dan selamat berpuasa kepada seluruh Keluarga Malaysia beragama Islam," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo