NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KPM, Al Azhar kerjasama tingkat kualiti STAM


KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan (KPM) dan Al-Azhar Al-Sharif dalam peringkat akhir meminda Memorandum Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan (MoA) berkaitan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata, pindaan itu membabitkan pelaksanaan kurikulum dan pentaksiran STAM bagi meningkatkan lagi kualiti sijil pelajaran itu.

"Pindaan ini juga meningkatkan kualiti lepasan STAM bagi membolehkan mereka berupaya melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar di Mesir," katanya dalam ucapan di Majlis Iftar Ramadan sempena sambutan Hari Al-Azhar Sedunia 2022 /1443 H di Masjid Wilayah di sini, hari ini.

Sambutan itu dianjurkan Rabitah Antarabangsa Alumni Al-Azhar Malaysia (WOAG).

Ketika ini, melalui Memorandum Perjanjian Persefahaman Akademik dan Kebudayaan (MoA) yang ditandatangani pada 18 November 1999 dipersetujui urusan kemasukan murid Malaysia ke Universiti Al-Azhar dikendalikan KPM dan Al-Azhar Al-Sharif.

Radzi berkata, WOAG Malaysia yang turut bersama-sama membantu KPM dalam memudahkan rundingan dengan pihak Al-Azhar Al-Sharif, termasuk dalam urusan STAM.

"Dalam kesempatan ini, saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada WOAG Malaysia kerana memudahkan rundingan itu," katanya.

Mengulas lanjut, Radzi menjelaskan KPM bertanggungjawab untuk mengendalikan peperiksaan STAM dengan kerjasama pihak Al-Azhar Al-Sharif.

Katanya, dalam masa yang sama, KPM menyelaraskan STAM mengikut kurikulum Maahad Bu`uth Islamiyyah yang dibangunkan oleh Al-Azhar sepenuhnya.

"Selain itu, kandungan buku teks agama yang digunakan di semua sekolah bawah KPM turut diselaraskan dengan kandungan buku teks yang digunakan oleh pelajar di Universiti Al-Azhar.

"Lepasan STAM boleh menggunakan sijil itu untuk memohon kemasukan ke Universiti Al-Azhar dan institusi pengajian tinggi di Malaysia dalam bidang Pengajian Islam dan Bahasa Arab," katanya.

Sejak 2000, jumlah calon yang menduduki STAM sehingga 2020 adalah seramai 125,600 calon.

Sebelum STAM diwujudkan pada 2000, sijil menengah agama dikeluarkan oleh pihak berkuasa agama negeri secara berasingan.

Pelajar menggunakan sijil itu untuk menyambung pengajian di Universiti Al-Azhar berdasarkan hubungan persefahaman antara pihak Kerajaan Negeri dan pihak Al-Azhar.

Radzi berkata, alumni Al-Azhar Malaysia membawa perubahan kepada sistem pendidikan agama Islam di negara ini.

"Antaranya memperkenalkan Kurikulum Azhari (Universiti Al-Azhar) yang dilaksanakan secara meluas di sekolah agama negeri dan sekolah agama persendirian.

"Namun, pelaksanaan kurikulum itu masih berbeza antara negeri," katanya.

Justeru, katanya bagi tujuan penyelarasan kurikulum, KPM bekerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Pihak Berkuasa Agama Negeri untuk menyelaras kurikulum Azhari bagi setiap negeri.

Katanya, dalam masa yang sama kerjasama itu membangunkan Kurikulum Bersepadu Dini (KBD) sebagai kurikulum kebangsaan bermula daripada Tingkatan Satu hingga Tingkatan Lima.

"KBD menggunakan Bahasa Arab sebagai bahasa pengantar dan dilaksanakan di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) serta di sekolah agama negeri dan juga sekolah agama persendirian.

"Penyelarasan ini membabitkan proses pengajaran dan pembelajaran yang lebih berstruktur bagi melahirkan murid yang seimbang dan cemerlang dalam bidang akademik dan agama.

"Keseimbangan ini dapat menyediakan generasi ulama pelapis dan cendekiawan Islam yang mampu bersaing di peringkat dunia," katanya.

Dalam konteks pentaksiran pula, katanya murid yang mengikuti KBD boleh mengambil mata pelajaran Dini di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan berpeluang untuk melanjutkan pengajian di peringkat yang lebih tinggi.

Selain itu, murid lepasan KBD juga berpeluang menduduki peperiksaan STAM bagi tujuan melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo