NOTIS:

Belum ada lagi....

Kerajaan Pulau Pinang menindas rakyat sendiri, satu laporan khas


PEMBANGUNAN
 pesat sedang dimajukan dalam negeri ini hakikatnya tidak membawakan kesejahteraan, tetapi menjadi punca kepada kemusnahan kehidupan rakyat dan bencana alam yang melanda.

Kerajaan pemerintah dilihat begitu meninggikan Kapitalisme hingga bukan sahaja mengabaikan sejarah warisan identiti bangsa yang sangat bernilai, malah meminggirkan hak penduduk.

Pengerusi Lajnah Pembangunan Tanah, Perumahan dan Orang Asal PAS Pusat, Datuk Ahmad Amzad Hashim hadir menyaksikan kerakusan tersebut dan mendengar luahan rintihan disuarakan rakyat.

Beliau mengamati dan menyelami sendiri gagahnya pembangunan diadakan hingga menghimpit dan mengusir keluar penduduk terutama golongan B40 termasuk yang sedang meniti usia senja.

Rakyat mengadu kepadanya dengan nada hiba sesak di dada dan genangan air mata oleh rasa kebimbangan dan terancam mengenang masa depan mereka yang terumbang-ambing.

Tiada lagi perbincangan dan budi bicara, apatah lagi perhatian kemanusiaan dan kebajikan, jauh sekali sentuhan kesantunan kasih sayang demi kelangsungan hidup yang bersisa secebis cuma.

Ahmad Amzad mengutip pengalaman bermakna itu ketika menjejak kaki ke Masjid Jamek Batu Uban, Bayan Baru dan Jalan Shaik Madar, Ayer Hitam di Pulau Pinang, semalam.

Turut bersama adalah Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Fauzi Yusoff dan Setiausaha PAS Pulau Pinang, Iszuree Ibrahim serta Ahli Jawatankuasa Perhubungan, Saiful Lizan Md Yusoff dan Yaacob Omar.

Delegasi PAS ini telah bertemu Pengerusi Masjid Jamek Batu Uban, Sk Abdul Aziz Sk Mohamed bersama Ahli Jawatankuasanya yang seia sekata agar penempatan terawal di Pulau Pinang itu dipertahankan.

Dibuka sejak awal tahun 1700 dengan catatan rasmi direkodkan di masjid itu dibina pada tahun 1734, sehingga ke hari ini tuntutan untuk mewartakannya sebagai khazanah warisan tidak dilayan.

Sebaliknya, George Town peninggalan penjajah Francis Light yang terletak kurang 10 kilometer dari Batu Uban dan hanya datang pada tahun 1786 pula mendapat pengiktirafan sebagai Tapak Warisan Dunia.

Lebih ketara Masjid Jamek dan Kampung Batu Uban dianaktirikan, apabila awal Mac lalu diumumkan Wadda Gurdwara Sahib, George Town yang berusia 122 tahun akan diwartakan sebagai Warisan Kebangsaan.

Kini tanah Batu Uban yang dipagari sekelilingnya bangunan tinggi itu masih terlihat kanak-kanak berlari riang tanpa tahu nasib mereka berkemungkinan tergadai hilang pemilikan dan terpaksa berpindah.

Namun, secubit demi secubit tanahnya dibeli dan diambil alih pemaju, akhirnya nanti akan lenyap pupus pendudukan tertua itu, sekali gus menguburkan sejarah penting Melayu-Islam di Pulau Pinang itu.

Delegasi juga menerima serahan memorandum daripada Pengerusi dan Timbalan Pengerusi Penduduk Jalan Shaik Madar, Noor Mohamed Abdul Jabbar dan Raymond Chan ketika menjejakkan kaki ke situ.

‘Keluarga Malaysia’ terdiri dari kaum Melayu, Cina dan India di kampung ini menyatakan kebanyakan mereka telah menghuni dan membesar di rumah-rumah kayu itu sejak tahun 30 April 1960 lagi.

Rata-rata mereka yang sudah berusia emas dan mempunyai beberapa generasi di situ bagaimanapun cukup gusar dan bimbang dengan pemodenan sedang didirikan di sekitar perkampungan itu.

Walaupun ada penduduk yang pernah menunjukkan bukti geran pemilikan bertulisan Inggeris dari Ratu Victoria, namun tanah itu tetap mahu diserahkan pihak kerajaan kepada pemaju.

Kasihannya, penduduk mengaku hilang arah tuju tanpa ditunjukkan rumah ganti, malah dikatakan tiada pertimbangan untuk diberikan sebarang pampasan setelah menerima notis berpindah.

Berdasarkan memorandum itu, mereka membantah pembangunan semula dan cadangan pembangunan perumahan awam, kuarters kakitangan dan perumahan mampu milik di situ.

Malah, penduduk menolak dakwaan pihak kerajaan kononnya penempatan di situ adalah kawasan banjir, sedangkan kali terakhir bencana itu berlaku adalah pada tahun 2017 yang menurut mereka berpunca dari pembangunan sekitar.

Paling mereka kesali, walaupun penempatan itu dimasukkan dalam Local Agenda 21 (LA21), tetapi pihak kerajaan tidak pernah mengambil inisiatif berbincang, malah kontrak terdahulu telah diubah.

Menurut Ustaz Fauzi, PAS tidak menolak pembangunan, tetapi seharusnya ia menjadi kemudahan dan keselesaan buat rakyat pelbagai kaum, bukannya terpaksa berputih mata menerima arus semasa itu.

Apatah lagi kesali beliau, pembangunan yang diadakan di negeri ini telah merempuh kehidupan penduduk dan seperti mengusir keluar mereka tanpa diberikan pembelaan sewajarnya untuk meneruskan hidup.

Katanya, kediaman dan premis yang giat dimajukan ketika ini terlalu mahal bermula setidak-tidaknya RM500,000 hingga ke jutaan ringgit, jauh dari kemampuan kebanyakan rakyat.

Akhirnya rakyat kata beliau, terpaksa memilih berpindah atau merempat dan melarat setelah kerajaan yang memerintah lebih mesra untuk menyenangkan dan mengikut telunjuk golongan kapitalis.

Jadilah Pulau Pinang ujarnya, hanya untuk didiami golongan kaya dan elit dalam keadaan masih ramai rakyat negara ini yang bergelut untuk memenuhi kehidupan asas diri dan keluarga mereka.

Datuk Amzad dalam pada itu mengingatkan supaya perjuangan pembangunan negara tidak harus meletakkan ke tepi kepentingan penduduk asal yang meneroka, menduduki dan memiliki tanah.

“Situasi perkampungan Melayu seperti Kampung Batu Uban terkepung oleh pembangunan yang sekiranya tidak dilakukan sesuatu, tiada lagi hartanah pemilikan Melayu akan tinggal di sana kerana tersepit oleh arus pembangunan.

“(Sedangkan) Masjid Jamek Batu Uban dari tahun 1734, usianya lebih tua dari apa yang dikatakan sejarah Francis Light tiba di Pulau Pinang. Tetapi masjid yang asalnya penuh dengan ahli kariah kini jika tidak dipelihara berdepan risiko pengabaian dan terancam,” ujarnya.

Beliau juga kesal situasi sama di Jalan Shaik Madar melibatkan penduduk pelbagai kaum diarahkan keluar tanpa mempunyai pilihan rumah boleh mereka tuju untuk pindah serta tanpa kos perpindahan yang terpaksa mereka belanjakan.

IZWAN ABDUL HALIM – HARAKAHDAILY




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo