NOTIS:

Belum ada lagi....

Israel pukul, tahan penduduk Palestin ketika berbuka puasa

0
Pasukan keselamatan Israel menahan penunjuk perasaan Palestin selepas pertembungan di Pintu Damsyik di kota lama Baitulmaqdis. - Foto REUTERS

BAITULMAQDIS : Pihak berkuasa Israel menyerang dan menahan penduduk Palestin yang berkumpul di Bab al-Amoud atau Pintu Damsyik sebagai persediaan untuk berbuka puasa, selama tiga malam berturut-turut.

Pintu Damsyik adalah salah satu pintu masuk utama ke Kota Lama Baitulmaqdis yang digunakan umat Islam untuk menyambut Ramadan.

Agensi berita Palestin, Ma'an melaporkan, tentera Zionis menggunakan gas pemedih mata dan bom tangan untuk menyuraikan penduduk Palestin yang berkumpul untuk berbuka puasa di Bab al- Amoud semalam.

Katanya, sekurang-kurangnya enam pemuda Palestin ditangkap dalam pertempuran itu, sementara tiga lagi ditahan pasukan khas Israel.

Media itu turut melaporkan, pihak berkuasa Israel merampas Bab al-Amoud sejak awal Ramadan dan menjadikan kawasan itu sebagai berek tentera dengan menempatkan sejumlah besar pasukannya di sana.

Keganasan terbaru itu tercetus selepas polis Israel menahan 10 penduduk Palestin serta mencederakan 20 yang lain di kawasan sama kelmarin.

Pegawai agensi media Wafa berkata, konfrontasi bermula selepas polis Israel meningkatkan kehadiran pasukannya secara besar-besaran di kawasan berkenaan dan meletakkan penghadang di kedua-dua bahagian sejak mula Ramadan.

Sementara itu, agensi berita Anadolu melaporkan, tentera Israel hari ini turut menahan Gabenor Baitulmaqdis, Adnan Ghaith.

"Gabenor ditahan di rumahnya di bandar Silwan, Baitulmaqdis Timur," menurut kenyataan dikeluarkan pejabat gabenor, memetik laporan berita berkenaan.

Bagaimanapun, polis Israel tidak menjelaskan sebab penahanan terbabit.

Sejak beberapa tahun lalu, tentera Israel sering menahan Ghaith dan melarang beliau memasuki Tebing Barat. -AGENSI




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo