NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

WARISAN terbuka kerjasama dengan semua pihak menjelang PRU-15


KOTA KINABALU: Parti Warisan (Warisan) terbuka untuk untuk bekerjasama dengan mana-mana parti atau gabungan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).

Presidennya, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal berkata, Warisan mengambil pendekatan terbuka untuk membentuk kerjasama dengan mana-mana parti yang boleh berkongsi perjuangan yang sama.

“Kita terbuka dan akan meneliti perkara ini secara mendalam. Kita sedia melihat (kerjasama) mana-mana pihak, tidak semestinya Gabungan Rakyat Sabah (GRS) mahupun UMNO.

“Pada masa ini, kita tidak amalkan dasar tutup pintu, kita tidak boleh menolak semua pihak. Namun, keutamaan kita adalah memperkukuhkan parti terlebih dahulu.

“Kita akan perkuatkan dan perkukuhkan kawasan yang mempunyai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan ahli Parlimen kita serta kawasan yang mahu diambil alih semula,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (AMT) di Ibu Pejabat Warisan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kemungkinan Warisan bekerjasama dengan GRS dan BN-UMNO menjelang PRU-15.

Katanya, bukan mudah untuk Warisan berjuang bersendirian jadi, kerjasama seperti yang dilakukan di Sarawak iaitu semua parti saling bekerjasama dengan kerajaan yang memerintah di peringkat Pusat merupakan pendekatan terbaik.

Mengulas lanjut katanya, ketika ini Warisan mempunyai lapan ahli Parlimen maka, beliau mahu memperkuatkan kawasan-kawasan itu terlebih dahulu.

Jelas beliau, tiada maknanya jika Warisan membentuk kerjasama dengan mana-mana pihak namun, ia hanya akan melemahkan dan mematikan Warisan.

“Kita tidak mahu disebabkan kerjasama yang dibentuk dengan parti mahupun gabungan lain, ia melemahkan kita (Warisan),” ujarnya.

Menurutnya, kini Warisan memberi fokus mempersiapkan diri untuk berhadapan PRU-15.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, jika melihat apa yang disuarakan oleh pimpinan UMNO bahawa pemilihan parti akan diadakan selepas PRU iaitu pada Disember maka, PRU-15 boleh diadakan pada bila-bila masa sebelum Disember, boleh jadi September.

“Kita tidak pasti bila namun, kita tidak boleh menunggu sehingga butang ditekan. Kita kena bersedia daripada sekarang,” ujarnya.

Mengenai keperluan pensturkturan semula kepimpinan Warisan, Mohd Shafie berkata, tiada keperluan untuk berbuat sedemikian kerana perlembagaan parti cukup jelas bahawa Warisan boleh bertanding di Semenanjung Malaysia.

Apa yang penting adalah penggunaan logo Warisan pada PRU-15 kerana sudah sampai masanya untuk menyatukan rakyat di negara ini dan itu merupakan perkara pokok yang perlu dilakukan agar perpaduan sedia ada dapat dikekalkan.

Sumber | Borneo Today 




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo