NOTIS:

Belum ada lagi....

TIDAK RASMI: Hasni, Mohd Puad pertahan kemenangan

0
PENGERUSI Barisan Nasional, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Pengerusi UMNO Johor, yang juga calon DUN Benut Datuk Hasni Meraikan kemenangan di Pejabat Badan Perhubungan UMNO, Johor Bahru. NSTP/NUR AISYAH MAZALAN.

KUALA LUMPUR: Datuk Hasni Mohammad kembali ke Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor selepas berjaya mengekalkan kemenangan di Benut dalam saingan empat penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Menerusi keputusan tidak rasmi sehingga jam 10 malam tadi, Menteri Besar Johor itu menang dengan majoriti 5,680 undi, mengalahkan lawannya dari Perikatan Nasional (PN), Isa Ab Hamid; Haniff @ Ghazali Hosman (PKR) dan Iskandar Noor Ibrahim (PEJUANG).

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi juga dilihat berjaya mempertahan kemenangan Barisan Nasional (BN) di DUN Rengit yang sebelum ini disandang Ayub Jamil, dalam saingan empat penjuru.

DAP yang mempertaruhkan Liew Chin Tong juga mengekalkan kemenangan dalam persaingan tiga penjuru di DUN Perling, menundukkan calon BN, Tan Hiang Kee dan Khoo Shiaw Lee (PN).

Sementara itu, bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik yang mewakili PKR di DUN Layang-Layang dikalahkan calon BN, Abd Mutalip Abd Rahim.

Menerusi kiraan tidak rasmi, Abd Mutalip meraih 7,722 undi, mengetepikan Maszlee yang hanya memperoleh 4,756 undi, selain dua lagi pesaing, Alagenthiran Krishnan (PN) dan Ahmad Shafiq Othaman (PEJUANG) dengan masing-masing 1,297 undi serta 174 undi.

Selain itu, MIC dilihat berjaya membuat kemunculan semula apabila secara tidak rasmi menang selesa di empat kerusi ditandingi parti itu, masing-masing di DUN Kemelah, Kahang, Tenggaroh dan Bukit Batu.

Setiausaha PN Johor yang juga penyandang DUN Bukit Kepong, Datuk Dr Sahruddin Jamal dilihat mendahului kiraan undi dalam saingan empat penjuru di kawasan berkenaan.

Selain itu, Ketua Penerangan PN, Mohd Solihan Badri pula tersungkur kepada kepada calon BN, Sarihan Jani dalam saingan empat penjuru di DUN Gambir.

Naib Pengerusi DAP Johor yang juga penyandang DUN Paloh, Sheikh Umar Baghribi juga tersungkur kepada calon BN, Lee Ting Han, manakala Ketua PEJUANG Johor, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh juga kecundang kepada calon BN, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Sumber | BH Online



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo