NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia kesal Majlis Keselamatan PBB gagal pulihara keamanan, keselamatan antarabangsa



KUALA LUMPUR: Malaysia yang amat bimbang dengan peningkatan konflik ketenteraan di Ukraine, kesal dengan ketidakupayaan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) melaksanakan tanggungjawab utamanya untuk memulihara keamanan dan keselamatan antarabangsa.

Wakil Tetap Malaysia ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Datuk Syed Mohamad Hasrin Aidid, berkata oleh itu terdapat keperluan untuk sesi khas kecemasan ke-11 Perhimpunan Agung PBB.

Beliau berkata, Malaysia memahami kebimbangan keselamatan yang munasabah oleh semua pihak.

"Namun begitu, dalam apa juga keadaan semua pihak mesti mematuhi dan menghormati prinsip kedaulatan dan integriti wilayah semua negara, seperti termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa.

"Sebarang pelanggaran prinsip yang agung itu tidak boleh diterima," katanya dalam kenyataan pada sesi khas kecemasan ke-11 Perhimpunan Agung PBB.

Kenyataan itu disiarkan melalui akaun twitter rasmi Misi Tetap Malaysia ke PBB di New York.

Syed Mohamad Hasrin berkata, pada saat genting ini, Kuala Lumpur menyeru semua pihak bertenang, mengambil langkah konkrit untuk meredakan kemelut dan meneruskan jalan dialog untuk menyelesaikan konflik secara aman.

"Oleh itu, Malaysia menyambut baik rundingan secara bersemuka antara Ukraine dan Russia di Belarus pada 28 Februari 2022.

"Kami berharap rundingan itu akan diteruskan dan menemui penyelesaian segera untuk mengelakkan kehilangan nyawa dan kemusnahan berterusan," katanya.

Beliau berkata, Malaysia menyeru semua pihak tidak mengambil tindakan sehala yang boleh memburukkan lagi ketegangan dan memberi kesan meluas ke serantau dan global.

Syed Mohamad Hasrin juga berkata, Malaysia amat bimbang dengan laporan mengenai senjata nuklear yang diletakkan pada status berjaga-jaga tinggi, sambil menyeru semua negara senjata nuklear mematuhi Kenyataan Bersama mereka pada 3 Januari 2022 mengenai mencegah perang nuklear dan mengelak perlumbaan senjata.

"Malaysia menyokong penuh penegasan bahawa 'perang nuklear tidak boleh dimenangi dan tidak boleh dimulakan.'

"Kami selanjutnya menggesa negara senjata nuklear meneruskan tindakan ke arah pengurangan keadaan berwaspada, pengurangan risiko, dan melaksanakan komitmen serta kewajipan mereka berkaitan pelucutan dan kawalan senjata nuklear," katanya.

Dengan keadaan tegang di lapangan, beliau berkata, Malaysia menggesa semua pihak memastikan perlindungan dan kesejahteraan rakyat, khususnya wanita, kanak-kanak dan kumpulan lain masyarakat yang mudah terancam.

Syed Mohamad Hasrin berkata, Malaysia mengulangi komitmennya untuk menyelesaikan pertikaian secara aman, berpandukan prinsip termaktub dalam Piagam PBB dan undang-undang antarabangsa demi kepentingan mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau dan antarabangsa, serta memperkenalkan kemakmuran lebih besar.

"Sehubungan itu, Malaysia akan mengundi menyokong draf resolusi bersama Perhimpunan ini," katanya.– BERNAMA



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo