NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Isu perkahwinan bawah umur tak wajar dimanipulasi

Isu perkahwinan bawah umur tidak wajar dimanipulasikan memandangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa memberikan komitmen tinggi untuk menangani isu ini demi kepentingan kanak-kanak terbabit. - Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Isu perkahwinan bawah umur tidak wajar dimanipulasikan memandangkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) sentiasa memberikan komitmen tinggi untuk menangani isu ini demi kepentingan kanak-kanak terbabit.

Menterinya, Datuk Seri Rina Harun, berkata ia termasuk dalam aspek perlindungan dan kebajikan mereka. Komitmen itu juga selaras dengan usaha kementerian membangunkan Pelan Strategi Kebangsaan bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur yang dilaksana bermula 2020 hingga 2025.

"Pelaksanaan program di bawah pelan ini dipantau Jawatankuasa Pemandu yang dianggotai oleh wakil semua agensi pelaksana pelan terbabit.

"Program dan tindakan dilaksanakan melalui pelan ini juga sudah mengambil kira isu yang merentas pelbagai sektor seperti perundangan, keibubapaan, sistem sokongan sosial, pendidikan, kesihatan dan kesedaran," katanya dalam kenyataan hari ini.

Menteri Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun. - Foto fail NSTP

Beliau berkata, pelan itu turut menetapkan had umur minimum perkahwinan bagi perempuan di bawah undang-undang keluarga Islam dinaikkan.

"Kementerian juga menghormati keputusan dibuat Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) pada September tahun lalu berdasarkan ketetapan Mesyuarat Sekretariat Dasar Perundangan Syariah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) Bil 1/2021 yang juga sudah mengambil kira pandangan negeri-negeri.

"Kementerian menghargai usaha Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) kerana sudah mengeluarkan prosedur operasi standard (SOP) Permohonan Perkahwinan Bawah Umur sebagai satu langkah konstruktif bagi memperketatkan lagi kelulusan perkahwinan bawah umur.

"Dengan wujudnya SOP ini, Hakim Syarie akan meneliti laporan sosial daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), laporan kesihatan dan semakan Polis Diraja Malaysia (PDRM)," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, statistik Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) menunjukkan bilangan kes perkahwinan bawah umur direkodkan pada 2016 hingga 2020 menunjukkan trend penurunan.

"Sebanyak 2,288 kes direkodkan pada 2016, 2,107 (2017), 1,856 kes (2018), 1,459 kes (2019), diikuti sebanyak 1,124 kes pada 2020.

"Kementerian sentiasa komited memperkasa strategi digariskan melalui program dan tindakan dalam pelan itu bagi Menangani Punca Perkahwinan Bawah Umur melalui kerjasama erat dengan semua pihak yang berkaitan secara menyeluruh," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo