NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Wanita gagal batal status peluk Islam


KUALA LUMPUR: Seorang ejen insurans gagal dalam usahanya untuk mencabar dakwaan penukaran agamanya kepada Islam secara sepihak ketika dia masih kecil oleh bapanya.

Ia diputuskan oleh Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Noorin Badaruddin yang menolak permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh wanita berusia 42 tahun itu terhadap ketua pengarah Jabatan Pendaftaran Negara, Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan Kerajaan Malaysia, selaku responden pertama hingga ketiga.

Hakim Noorin dalam penghakimannya memutuskan bahawa dalam hal yang berkaitan dengan Islam, Perlembagaan Persekutuan telah memberikan kuasa kepada Mahkamah Syariah untuk menentukannya.

"Mahkamah Sivil tidak boleh memasuki bidang kuasa eksklusif Mahkamah Syariah untuk menentukan perkara yang berkaitan agama Islam.

"Adalah sangat tidak wajar bagi mahkamah ini sebagai Mahkamah Sivil untuk menentukan kesahihan penukaran agama mana-mana orang sama ada orang itu beragama Islam atau tidak kerana ia termasuk dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah menurut Perkara 121 Perlembagaan Persekutuan," kata hakim itu ketika prosiding dalam talian, hari ini.

Hakim Noorin berkata, berkaitan permohonan perintah mandamus wanita itu terhadap responden MAIS, mahkamah berkata ia tidak boleh mengeluarkan perintah mandamus mengarahkan MAIS membatalkan atau menggugurkan nama pemohon daripada 'Daftar Muallaf' kerana pemohon tidak pernah membuat permohonan dan/atau meminta pihak berkaitan berbuat demikian sebelum pemfailan semakan kehakiman itu.

"Pihak yang berkenaan ialah Pendaftar Muallaf yang kewajipan berkanunnya ditetapkan di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Negeri Selangor) 2003. Mahkamah ini bersetuju dan mendapati kewajipan berkanun itu tidak dikenakan ke atas MAIS.

Hakim berkata, pemohon mempunyai hak untuk menganuti dan mengamalkan agama pilihannya, dan untuk perkara itu, wanita berkenaan masih mempunyai remedi undang-undang sedia ada untuk membebaskannya daripada Islam.

"Saluran yang betul ialah di Mahkamah Syariah iaitu di bawah Seksyen 61 (3)(b)(x) enakmen itu, Mahkamah Tinggi Syariah diberi bidang kuasa untuk mengisytiharkan seseorang itu bukan lagi beragama Islam.

"Selepas itu, dia boleh meneruskan permohonan supaya namanya dikeluarkan daripada Daftar Mualaff dan membuat permohonan kepada Jabatan Pendaftaran Negara untuk menukar namanya dan menggugurkan perkataan Islam dalam kad pengenalannya," kata hakim.

Hakim Noorin yang memetik kes Indira Ghandi berkata terdapat banyak bukti yang menunjukkan golongan ibu mengambil langkah yang perlu untuk mencabar penukaran agama anak-anak oleh suami pada masa kanak-kanak itu masih di bawah umur.--BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo