NOTIS:

Belum ada lagi....

Barisan kepimpinan diumum sebaik sahaja GRS didaftarkan

0

KOTA KINABALU: Gabungan Rakyat Sabah (GRS) akan mengumumkan barisan kepimpinan selepas pendaftaran gabungan parti politik itu diluluskan.

Presiden Parti Bersatu Sabah (PBS), Datuk Seri Dr. Maximus Ongkili berkata, sebaik sahaja pendaftaran gabungan itu diluluskan, Pengerusi GRS, Datuk Seri Hajiji Noor akan mengumumkan barisan kepimpinan gabungan berkenaan.

“Saya dengar dia sudah menghantar (senarai kepimpinan) dan sudah berkomunikasi secara dalaman kepada kami dalam komponen GRS. Barisan kepimpinan akan diumumkan selepas ia didaftarkan,” katanya dalam sidang akhbar sempena sambutan ulang tahun ke-37 PBS, semalam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak) itu berkata, apa yang penting sekarang adalah memperkukuhkan kerjasama dengan rakan komponen sedia ada dalam GRS.

Beliau berkata, GRS tidak perlu membazir masa untuk menambah keahlian parti baharu yang tidak diketahui tahap kesetiaan mereka.

Menurut beliau, PBS menyokong penuh agar GRS didaftarkan sebagai gabungan politik secara rasmi. Ketabahan dan semangat kuat PBS adalah tunjang perjuangan yang akan membantu mengukuhkan lagi GRS.

“Kami menyokong gabungan parti yang berkualiti, terutama sekali yang menyediakan rangka kerja yang baik untuk Sabah. Kami tidak mahu sebuah gabungan bermusim, yang datang dan pergi.

“Itu sebabnya penting kepada kita untuk memilih dan mengenali rakan kongsi kita, bina kepercayaan dan perkongsian sejati. Kita tidak perlu tergesa-gesa untuk menerima parti baharu yang masih belum terbukti kesetiaan dan agenda sebenar mereka,” katanya.

Ahli Parlimen Kota Marudu itu berkata, fokus GRS adalah untuk melindungi rakan kongsi asal dan mengukuhkan lagi perpaduan dalamannya.

Mengulas tentang gelaran Premier bagi menggantikan Ketua Menteri, Maximus berkata, pertukaran gelaran bukan keutamaan pada masa ini sebaliknya, fokus harus diberi untuk pembangunan Sabah.

Beliau juga tidak senada dengan Presiden Parti Maju Sabah (SAPP) Datuk Seri Yong Teck Lee yang mahukan gelaran Yang Dipertuan Negeri diubah. Biarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang memutuskan berkaitan pertukaran gelaran berkenaan.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, cadangan mengeluarkan Kad Pengenalan atau IC Sabah sudah pernah dibincangkan semasa Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) sebelum ini maka, cadangan melaksanakannya perlu seiring dengan undang-undang sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Tambah beliau, cadangan itu perlu dibincangkan lebih lanjut antara kerajaan GRS dan kerajaan Persekutuan.

Sumber | UTUSAN





............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo