NOTIS:

Belum ada lagi....

Azizulhasni, Cheong Min Olahragawan, Olahragawati Kebangsaan 2019/2020

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan menyampaikan trofi anugerah Olahragawati Kebangsaan kepada atlet wushu, Tan Cheong Min. Turut hadir Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (dua kanan); Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu (kiri) dan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ti Lian Ker (kanan) pada majlis Anugerah Sukan Negara 2019/2020. - NSTP/Aswadi Alias

KUALA LUMPUR: Jaguh berbasikal trek negara, Datuk Azizulhasni Awang meletakkan namanya sebaris dengan legenda sukan tanah air, Datuk Rashid Sidek dan Datuk Lee Chong Wei apabila dinobatkan sebagai Olahragawan Kebangsaan buat kali keempat pada Majlis Anugerah Sukan Negara (ASN) 2019/2020 yang berlangsung di sebuah hotel terkemuka, di sini sebentar tadi.

Pelumba berusia 34 tahun itu yang diberi julukan 'The Pocket Rocketman' mengatasi empat lagi pencabar lain bagi anugerah berkenaan iaitu atlet bina badan, Mohd Syarul Azman Mahen Abdullah, Khairul Anuar Mohamad (memanah), Tan Chye Chern (tenpin boling) dan Wong Weng Son (wushu).

Azizulhasni sebelum ini sudah tiga kali dipilih sebagai Olahragawan Kebangsaan bermula pada 2009, 2010 dan 2017 dan gelaran keempat berkenaan membolehkan dia menyamai rekod Rashid dan Chong Wei yang turut memenanginya sebanyak empat kali.

Rashid pernah meraih gelaran itu secara hatrik pada 1990, 1991 dan 1992 sebelum kembali memenanginya pada 1996 manakala Chong Wei dinobatkan sebagai pemenang pada 2005, 2008, 2011 dan 2012.

Azizulhasni membuktikan betapa dia berhak menerima anugerah berkenaan menerusi pencapaian yang dilakarnya sepanjang saingan musim 2019/2020 termasuklah memenangi pingat gangsa dalam acara pecut dan keirin di Kejohanan Basikal Trek Dunia di Berlin, Jerman pada 2020.

Pelumba kelahiran Dungun, Terengganu itu turut cemerlang apabila memenangi emas dalam acara pecut di Kejohanan Basikal Trek Asia di Jakarta, Indonesia pada 2019 sebelum dia mempertahankan kejuaraannya dalam acara itu pada edisi 2020 di Jincheon, Korea Selatan selain membawa pulang perak bagi acara keirin.

Dalam saingan Piala Dunia Berbasikal Trek di New Zealand 2019, Azizulhasni meraih emas bagi acara keirin yang menyaksikan dia menewaskan bekas juara dunia dari Russia, Shane Perkin dan juara dunia Australia, Matthew Glaetzer dengan catatan masa 9.853 saat sekali gus menduduki ranking nombor satu dunia.


Penyertaannya di Kejohanan Berbasikal Trek Antarabangsa di China 2019, Kejohanan Basikal Trek Kebangsaan 2019 dan Kejohanan Berbasikal Trek Kebangsaan Australia 2020 menyaksikan dia meraih emas dalam acara keirin.

Sementara itu, atlet wushu wanita negara, Tan Cheong Min menjadi atlet pertama dalam sukan itu dinobatkan sebagai Olahragawati Kebangsaan 2019/2020.

Dia menewaskan empat pencabarnya iaitu ratu terjun negara, Datuk Pandelela Rinong, Siti Zalina Ahmad (boling padang), Sin Li Jane (tenpin boling) dan Farah Ann Abdul Hadi (gimnastik).

Cheong Min cemerlang apabila dia memenangi emas dalam acara nandao pada Kejohanan Wushu Dunia 2019 di Shanghai, China selain turut membawa pulang perak bagi acara nanquan.

Dalam pada itu, atlet memanah para kebangsaan, S Suresh dipilih sebagai Olahragawan Paralimpik Kebangsaan manakala tiada pencalonan bagi Olahragawati Paralimpik Kebangsaan.

Azizulhasni, Cheong Min dan Suresh masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 dan trofi.

Majlis anugerah diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah; Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu.


Senarai Pemenang ASN 2019/2020

Olahragawan Kebangsaan - Datuk Azizulhasni Awang (Basikal trek)

Olahragawati Kebangsaan - Tan Cheong Min (Wushu)

Olahragawan Paralimpik Kebangsaan - S Suresh (Para memanah)

Olahragawati Paralimpik Kebangsaan - Tiada

Pasukan Lelaki Kebangsaan - Muhammad Raqiq Ismail, Ahmad Muaz Mohd Fishol, Muhammad Syafiq Ridhwan Abdul Malek (Tenpin boling)

Pasukan Wanita Kebangsaan - Datuk Pandelela Rinong, Datuk Leong Mun Yee (Terjun)

Jurulatih Lelaki Kebangsaan - Marzuki Zakaria (Para memanah)

Jurulatih Wanita Kebangsaan - Nor Hashimah Ismail (Boling padang)

Anugerah Tokoh Sukan - Datuk Sieh Kok Chi

Anugerah Kepimpinan Sukan - Allahyarham Datuk Seri Zolkples Embong, Datuk S Vegiyathuman (Kesatuan Olahraga Malaysia), Lt Kdr (B) Kamaruzaman Kadir (Persatuan Powerlifting Malaysia)

Anugerah Khas - Persatuan Hoki Negeri Perak (Piala Sultan Azlan Shah), Sekolah Kebangsaan Lemoi Cameron Highlands, Pahang, Kelab Penyokong Sukan Malaysia Famemas




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo