NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

300 pengusaha bas jatuh muflis - SGBM

JOHOR BAHRU: Sekretariat Gabungan Bas Malaysia (SGBM) bercadang 'menyerahkan' 20,000 bas milik ahlinya kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan berikutan pengusaha tidak lagi mampu membayar pinjaman sejak perkhidmatan pengangkutan terjejas akibat penularan COVID-19.

Pengerusinya, R Thiagarajan mendakwa, ada kira-kira 20,000 bas dimiliki pengusaha yang tersenarai dalam perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) seluruh negara yang menyediakan perkhidmatan bas sekolah, bas pekerja dan bas persiaran.

"Keseluruhannya ada 300 pengusaha muflis disebabkan isu pinjaman, tidak mampu bayar hutang apabila perniagaan terjejas akibat pandemik COVID-19. Kebajikan pengusaha bas PKMS tidak terbela dan kian tenat kerana masih terbelenggu dengan isu pinjaman dan hutang makin meningkat.

"Mengikut rekod kami, terdapat sebanyak 18,000 bas sekolah, 10,000 bas pekerja dan 6,000 bas persiaran berdaftar di seluruh negara terjejas dengan isu pinjaman daripada syarikat kredit, tidak mampu bayar balik pinjaman. Semua pengusaha ini terjejas dengan isu kredit atau pinjaman.

"Isu kredit menjerut kami dengan pendapatan yang diperoleh tidak cukup untuk bayar balik ansuran pinjaman kepada syarikat kredit, apatah lagi COVID-19 menyebabkan pendapatan kami terjejas teruk," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Katanya, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar sebelum ini ada memberi maklum balas kepada pengusaha bas yang terjejas dan mereka mengharapkan Kementerian Pengangkutan juga tampil mengambil inisiatif sama dan membantu pengusaha.

"Jika tiada penyelesaian, kami tiada pilihan selain mengadakan mogok dengan menyerahkan 20,000 bas milik kami kepada Kementerian Pengangkutan dan Kementerian Kewangan di Putrajaya dalam masa terdekat," katanya.

Thiagarajan mendakwa, Kementerian Pengangkutan seperti menganaktirikan pengusaha bas PKMS seluruh negara dan lebih mengambil berat perihal syarikat besar.

"Pelbagai isu dihadapi pengusaha bas PKMS cuba disalurkan kepada Kementerian Pengangkutan, termasuk menyarankan skim bantuan bagi membolehkan kami terus beroperasi, aset tidak ditarik oleh pemberi pinjaman mahu pun ditindas oleh syarat kredit.

"Ahli gabungan kami, terutama pengusaha bas, ramai ibu tunggal, namun kerana tiada pembelaan, aset mereka iaitu bas banyak yang sudah ditarik oleh syarikat kredit kerana tidak mampu bayar pinjaman berikutan pendapatan yang diperoleh tidak mencukupi.

"Namun, kementerian lebih banyak menyediakan skim bantuan untuk pengusaha besar termasuk skim bagi membeli bas baharu, sedangkan pengusaha bas PKMS terus tersepit, seolah-olah dipinggirkan. Lebih mengecewakan apabila Kementerian Pengangkutan memansuhkan Lesen Perubahan Sementara (LPS) bas sekolah,"katanya.

Katanya, pemansuhan LPS menyebabkan pengusaha bas sekolah dilarang menyediakan khidmat sewa khas bas mereka bagi tujuan membawa rombongan, termasuk pelajar sekolah seperti sebelumnya, sedangkan ia pendapatan sampingan mereka.

"Dengan pemansuhan LPS, pengusaha hanya dibenar menawarkan perkhidmatan mengambil dan menghantar pelajar ke sekolah, sedangkan bas pesiaran pula dibenarkan membawa rombongan pelajar sekolah. Bagi kami, ia sangat tidak adil," katanya.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo