NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Warga asing kembali aktif berniaga di Pasar Harian Selayang, Pasar Borong KL

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Kumpulan warga asing kembali menjadikan lokasi sekitar Pasar Harian Selayang (PHS) dan Pasar Borong Kuala Lumpur sebagai lubuk rezeki mereka menjalankan perniagaan secara haram.

Biarpun kawasan berkenaan sebelum ini digempur beberapa kali oleh pihak berkuasa dan pernah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) berikutan jangkitan kes COVID-19 yang tinggi tahun lalu, ternyata mereka tidak serik berniaga di sekitar kaki lima bangunan kedai berdekatan kedua-dua pasar berkenaan yang menjadi tumpuan pembeli.

Tinjauan BERNAMA mendapati di PHS, kelibat peniaga warga asing yang menjual sayur-sayuran, buah-buahan dan barang basah lebih ramai ketika hujung minggu dari awal pagi hingga petang.

Di deretan bangunan kedai dua tingkat berdekatan Pasar Borong Kuala Lumpur pula seolah-olah telah menjadi 'perkampungan' mereka dengan ada antaranya membuka restoran selain turut menjual daging sembelihan secara terbuka hanya di kaki lima bangunan kedai.

Seorang peniaga ikan, Norizah Saptu, 42, berkata warga asing kembali aktif berniaga sejak peniaga tempatan dipindahkan ke bangunan baharu PHS pada Jun tahun lalu.

Norizah berkata, warga asing juga mula bertindak berani dengan mengubah lokasi perniagaan mereka ke bangunan kedai yang terletak di antara sempadan Majlis Perbandaran Selayang dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bagi mengaburi pihak berkuasa.

"Ketika ini, ramai peniaga baru nak memulihkan semula perniagaan masing-masing setelah lama operasi ditutup akibat pandemik COVID-19, tetapi kini kami pula terpaksa bersaing dengan peniaga warga asing.

"Sudahlah banyak kos terpaksa kami tanggung termasuk lesen dan sewa premis, tetapi mereka (warga asing) dapat berniaga sewenang-wenang," katanya yang sudah 11 tahun berniaga.

Seorang penduduk, Zulfahmi Hakimi Mohamad Said, 35, pula berkata situasi di bangunan kedai berdekatan Pasar Borong Kuala Lumpur umpama berada di negara lain apabila deretan bangunan kedai dua tingkat itu dipenuhi warga asing.

"Kawasan ini juga dipenuhi dengan sampah-sarap. Saya bimbang jika tiada langkah segera untuk menangani isu ini, lama-kelamaan ia boleh mendatangkan kemudaratan bukan sahaja isu keselamatan dan kesihatan tetapi juga kesan kepada ekonomi peniaga di sekitar pasar ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Kawasan Selayang Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Wilayah Persekutuan, Mohd Hafiz Mohd Sidik, berkata tindakan undang-undang yang lebih tegas harus dikenakan kepada warga asing bagi kelangsungan peniaga tempatan.

"Mereka menjual dengan harga yang lebih murah berbanding peniaga tempatan kerana mereka tidak menanggung kos seperti sewa premis dan bahan jualan diperoleh terus daripada pembekal. Ini tidak mustahil akan ada antara kami yang terpaksa `gulung tikar'," katanya. -BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo