NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pickids: Segera vaksinasi, elak penyakit kritikal - Pakar Pediatrik


KUALA LUMPUR: Kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun yang tidak divaksin dan dijangkiti COVID-19 berisiko menghidap komplikasi serius, khususnya Sindrom Keradangan Multisistem Pada Kanak-Kanak (MIS-C) membabitkan pelbagai organ dalaman terutama jantung, paru-paru dan otak.

Bagi melindungi golongan kanak-kanak daripada kesan buruk akibat wabak, sekali gus memutuskan rantaian penularan COVID-19, ibu bapa disaran memastikan anak-anak mereka segera mendapatkan suntikan vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan untuk Kanak-kanak (PICKids).

Pakar Perunding Pediatrik dan Pediatrik Nefrologi Hospital Selayang, Dr S Selva Kumar, berkata kebimbangan pakar pediatrik ketika ini ialah ramai dalam kalangan golongan itu telah dijangkiti COVID-19 dan terdedah dengan risiko MIS-C.

"Kami (pihak hospital) juga gerun sekiranya kanak-kanak mempunyai masalah MIS-C. Misalnya, tahun lalu, seorang pesakit kanak-kanak mengalami MIS-C, keadaannya serius dan membimbangkan yang memerlukan rawatan intensif (alat pernafasan dan dialisis) sehingga pulih," katanya ketika dihubungi BERNAMA, hari ini.

Dr Selva Kumar yang juga Ketua Jabatan Pediatrik Hospital Selayang berkata ibu bapa yang mempunyai anak dengan penyakit kronik disaran supaya segera mendaftarkan anak mereka untuk vaksinasi COVID-19.

Senada dengannya, Pakar Perunding Pediatrik dan Penyakit Berjangkit Hospital Raja Perempuan Zainab II Kota Bharu, Dr Nik Khairulddin Nik Yusoff pula berkata MIS-C berpotensi menjadi kesan jangkitan COVID-19 berpanjangan pada tubuh badan kanak-kanak yang dijangkiti COVID-19.

Beliau berkata dengan suntikan vaksin COVID-19, ia mampu menghasilkan imuniti dalam tubuh badan kanak-kanak dan memberikan perlindungan daripada kesan wabak berkenaan.

Dr Nik Khairulddin berkata, ibu bapa sebagai 'pelindung pertama' anak-anak perlu memainkan peranan mereka dan mengambil langkah proaktif bagi melindungi golongan itu daripada terdedah kepada kesan jangkitan virus berbahaya itu.

"Ibu bapa perlu memahami fakta tepat daripada sumber yang sahih berkaitan vaksin untuk menangkis segala kegusaran berkenaan vaksin COVID-19," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dilaporkan berkata sejak Jun 2020 hingga Disember lepas, sebanyak 174 kes kanak-kanak bawah 18 tahun mengalami MIS-C akibat jangkitan COVID-19 melibatkan mereka berusia bawah setahun dengan 24 kes, 1 hingga 4 tahun (38 kes), 5 hingga 8 tahun (64 kes), 9 hingga 11 tahun (36 kes) dan 12 tahun ke atas (11 kes).

Sementara itu, beberapa ibu bapa turut berkongsi pengalaman anak mereka divaksin selain berpendapat pelalian itu adalah ikhtiar terbaik untuk memastikan anak-anak mereka dilindungi daripada kesan buruk jangkitan wabak.

Pekerja swasta, Sania Mohamad, 41, berkata anak lelakinya, Wan Mohammad Aisy Aydan, 9, secara sukarela menerima vaksin pada 16 Jan lepas, selepas melihat ahli keluarganya yang lain berada dalam keadaan baik selepas suntikan itu.

"Selepas divaksin, pada awalnya dia cuma cakap sakit tangan dekat tempat yang disuntik itu (vaksin) sahaja, tapi pada sebelah malam, dia sudah (boleh) pergi main badminton," katanya.

Nasri Abd Hamid, 53, pula berkata anak perempuannya, Nur Putry Auddra lambat mendapat tarikh janji temu vaksinasi akibat kekurangan slot namun akhirnya berjaya memperoleh hari ini.

Setakat 19 Februari, seramai 454,194 individu atau 12.8 peratus populasi kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun di Malaysia telah menerima dos pertama vaksin COVID-19 melalui PICKids. – BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo