NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sukar digambarkan perasaan mangsa kebakaran


KUDAT: PAS Sabah dengan kerjasama PAS Kudat, Sabah Relief dan Khidmat Malaysia Sabah membantu mangsa kebakaran di Kampung Landung Ayang di sini petang kelmarin.

Menurut Setiausaha PAS negeri, Dr. Aliakbar Gulasan, sukar digambarkan perasaan mangsa kebakaran yang diziarahi memandangkan keadaan rumah mereka musnah sepenuhnya.

“Ada yang sedang mendirikan rumah sementara berhampiran kawasan kebakaran, ada juga yang terpaksa tidur di dalam kenderaan mereka kerana keadaan keluarga yang kurang sesuai di pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan oleh pihak berkuasa.

“Seharian kami menyantuni serta menyampaikan sumbangan barangan dapur dan zink kepada penduduk terlibat.

“Semoga Allah memberikan kecekalan dan kesabaran kepada mereka serta dianugerahkan rezeki yang lebih baik,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dilantik.

Terdapat tiga tempat penyerahan agihan sumbangan yang diberikan kepada mangsa iaitu di Dewan Terbuka Landung Ayang, di lokasi tapak kebakaran dan juga PSS Dewan Tun Mustapha.

Turut diagihkan sumbangan bakul makanan berbentuk keperluan asas iaitu beras, tepung, gula, susu, teh, maggi dan bihun kepada setiap keluarga.

Turut hadir menyampaikan sumbangan Timbalan Pengerusi Sabah Relief, Tarmizi Yahya dan Yang Dipertua PAS Kudat, Ahmad Kapok.

Dr Aliakbar sempat berpesan kepada mangsa supaya bersabar dengan ujian yang telah diberikan dan diharap sumbangan serta bantuan ini dapat meringankan beban mangsa.

“Dalam kehidupan ini, sebahagian dari kita akan ditimpa ujian daripada Allah SWT. Kadang kala sebahagian besar menganggap ini sebagai bencana akan tetapi lebih baik disebut sebagai ujian kerana kehidupan ini ibarat gelombang yang tidak menentu.

“Kita perlulah yakin dan percaya, di mana pun kita berada, kita ada Allah Taala yang akan membantu kita,” ujarnya lagi.


Beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pegawai-pegawai yang menjalankan tugas mereka dalam mengurus serta menjaga pusat penempatan sementara itu.

Terdahulu sebanyak 179 buah rumah atas air di Kampung Landung Ayang hangus terbakar pada 16 Februari lepas.

Bagaimanapun, dilaporkan tiada mangsa terkorban dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 4.20 petang itu.

PAS Sabah telah mengerahkan seluruh jentera daripada negeri dan kawasan dalam misi membantu mangsa sejak hari kebakaran sehinggalah sekarang. – HARAKAHDAILY 26/2/2022



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo