NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sabah catat peningkatan empat kluster pendidikan


KOTA KINABALU: Kluster COVID-19 membabitkan institusi pendidikan di Sabah terus mencatatkan peningkatan dengan empat lagi kluster baharu bagi kategori itu dikesan, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata empat kluster baharu institusi pendidikan itu ialah Kluster Jalan Tandek dan Kluster Jalan Taman Beringin di Kota Marudu serta Kluster Jalan Pendidikan Ranau dan Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh di Sandakan.

Beliau berkata, kes indeks bagi Kluster Jalan Tandek membabitkan pelajar asrama lelaki tempatan berusia 15 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tandek 1 yang mula dikesan bergejala pada 15 Januari sebelum disahkan positif COVID-19 pada 17 Januari lepas.

Katanya, saringan terhadap 43 rakan satu asrama dan sekelas mendapati, sebanyak 34 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster jenis institusi pendidikan ini sebanyak 35 kes.

"Kluster Jalan Taman Beringin pula membabitkan pelajar perempuan SMK Bandau berusia 17 tahun yang dikesan positif pada 19 Januari sebelum menjalani pemeriksaan di Hospital Queen Elizabeth II.

"Saringan ke atas 49 kontak rapat mendapati 24 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif 25 kes termasuk 19 kes baharu hari ini terdiri daripada pelajar asrama, harian dan kakitangan sekolah," katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.

Masidi berkata, Kluster Jalan Pendidikan Ranau pula tercetus apabila kes indeks, pelajar asrama lelaki SMK Mat Salleh berusia 19 tahun, dikesan positif COVID-19 pada 31 Januari melalui ujian saringan kendiri selepas mula bergejala pada 29 Januari dan terus dikuarantin pada hari sama.

"Saringan terhadap 87 orang terdiri daripada rakan sebilik, asrama serta rakan sekelas mendapati 24 lagi kes positif menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes," katanya.

Bagi kes indeks Kluster Sungai Batang Batu Sepuluh pula membabitkan pelajar perempuan, 16, di sekolah Maktab Rendah Sains Mara Tun Mohammad Fuad Stephens di Sandakan.

"Pelajar itu mula bergejala demam sejak 25 Januari lepas. Saringan terhadap 101 kontak rapat mendapati 49 lagi kes positif terdiri daripada pelajar asrama dan harian, guru serta kontak keluarga menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 50 kes termasuk 36 kes baharu hari ini (semalam)," katanya.

Beliau berkata, empat kes kluster terbabit dikategorikan dalam kategori satu dan dua (bergejala ringan) dan mereka diasingkan serta diberikan rawatan lanjut.

Secara keseluruhan, beliau berkata Sabah mencatatkan peningkatan kes baharu hampir dua kali ganda semalam iaitu 909 berbanding 476 kelmarin iaitu yang tertinggi sejak 30 September tahun lepas menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negeri itu 250,440.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo