NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sabah catat dua lagi kluster pendidikan


KOTA KINABALU: Sabah hari ini mencatatkan dua lagi kluster COVID-19 berkaitan institusi pendidikan membabitkan dua daerah.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata dua kluster berkenaan adalah Kluster Bukit Langsat di daerah Keningau dan Kluster Kampung Lampada di Kota Marudu.

Beliau berkata, jangkitan COVID-19 Kluster Bukit Langsat membabitkan pelatih di Institut Pengajian Guru (IPG) Kampus Keningau.

Katanya, kluster terbabit yang dikesan pada 10 Februari lalu kini menambah tiga kes baharu menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes hasil saringan ke atas 77 kontak rapat, khususnya di asrama wanita iaitu Blok Cempaka dan Blok Dahlia.

"Kes indeks pula adalah wanita tempatan, 21, iaitu pelatih yang tinggal di asrama institusi terbabit. Semua kes diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya," katanya.

Bagi Kluster Kampung Lampada pula, ia membabitkan warga SK Lampada.

"Kes indeks adalah wanita tempatan, 36, yang juga Pembantu Pengurusan Murid di asrama sekolah itu yang dikesan positif COVID-19 melalui saringan bergejala pada 15 Februari lalu.

"Saringan terhadap kontak rapat mendapati pertambahan 24 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 25 kes," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Masidi berkata bagi kedua-dua kluster terbabit, semua kes diasingkan dan diberikan rawatan selanjutnya di samping kontak rapat tidak bergejala juga telah diberikan perintah kuarantin.

Dalam pada itu, Masidi berkata, jumlah kes harian COVID-19 hari ini kekal dengan empat angka.

"Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 5,565 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 298,110 kes.

"Enam kes kematian dilaporkan pada hari ini iaitu masing-masing satu kes di daerah Tawau, Tuaran, Semporna, Penampang, Kota Belud dan Papar.

"Bilangan pesakit COVID-19 sembuh ialah 2,152 menjadikan jumlah kumulatif 252,147 orang.

"Sementara 2,960 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,414 orang di hospital, 1,287 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 258 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) dan seorang di fasiliti swasta," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo