NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

KKM diberi 3 minggu bincang buka sempadan negara

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada sidang media selepas Program Karnival Usahawan dan Koperasi Malaysia di Dewan Serbaguna, Majlis Bandaraya Iskandar Puteri, Gelang Patah. - NSTP/Nur Aisyah Mazalan

ISKANDAR PUTERI: Kementerian Kesihatan (KKM) diberi tempoh tiga minggu bagi mengemukakan nasihat, pandangan serta input mereka mengenai cadangan pembukaan sempadan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata keputusan sama ada mahu membuka pintu sempadan atau masih melaksanakan sekatan tertentu bergantung kepada penilaian yang dibuat KKM berdasarkan situasi semasa.

Katanya, kerajaan perlu membuat pertimbangan yang seimbang sebelum melaksanakan pembukaan sempadan kerana ada rakyat yang masih belum dapat menerima hakikat bahawa mereka terpaksa hidup dengan COVID-19.

"Pelbagai pandangan diberikan (mengenai sempadan). Ada yang kata kita boleh buka (sempadan) kerana macam saya kata sebelum ini kita perlu mendidik rakyat untuk hidup bersama COVID-19.

"Cuma tak semua orang berani menerima hakikat dan minta kerajaan kawal pergerakan dan sebagainya...sebab itu perlu ada pertimbangan yang seimbang.

"Keseimbangan ini yang sedang dicari Kementerian Kesihatan dan kita beri tempoh dua ke tiga minggu untuk bentang dalam Kabinet supaya kita dapat buat keputusan sama ada buka terus sempadan atau masih perlu sekatan-sekatan kepada negara tertentu.

"Saya juga akan memanggil Sidang Khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) bagi membincangkan isu sempadan negara kerana ia dasar besar yang perlu dibincangkan secara lebih teliti," katanya pada sidang media selepas merasmikan Karnival Usahawan dan Koperasi Keluarga Malaysia, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Menteri Besar, Datuk Seri Hasni Mohammad.

Ditanya sama ada kerajaan bercadang membuka laluan khas kepada pekerja rakyat Johor yang kini berada di Singapura untuk pulang mengundi pada PRN Johor, Ismail Sabri berkata, perkara itu perlu melihat kepada peraturan semasa republik itu.

"Kalau boleh memang kita nak rakyat bebas balik mengundi kerana dari segi demokrasi setiap rakyat berhak untuk mengundi tapi mereka berada di Singapura dan terpaksa mematuhi peraturan dan undang-undang Singapura.

"Tetapi kalau pintu ditutup kerana faktor kesihatan dan Singapura ada peraturan tertentu yang menyukarkan rakyat balik, maka kena patuh kerana ini juga membabitkan negara mereka," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo