NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kes jangkitan COVID-19 kanak-kanak di Sabah tinggi

Ibu bapa hendaklah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan COVID-19 ke atas anak mereka. - Foto hiasan Bernama

KOTA KINABALU: Lebih 500 kanak-kanak belum menerima vaksin berumur di bawah 11 tahun adalah antara 3,891 individu yang direkodkan dijangkiti COVID-19 di Sabah, semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata daripada jumlah itu, seramai 189 orang adalah kanak-kanak berumur bawah lima tahun yang belum layak divaksin.

Katanya, seramai 329 orang lagi adalah kanak-kanak berumur antara lima hingga 11 tahun yang belum menerima vaksin menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids).

"Kes jangkitan virus COVID-19 ke atas kanak-kanak kecil adalah agak tinggi. Sehubungan itu, ibu bapa dan pengurusan sekolah hendaklah mengambil langkah perlu untuk mengurangkan risiko jangkitan ke atas anak kecil apatah lagi mereka yang belum layak diberi vaksin," katanya dalam kenyataan malam tadi.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata kes jangkitan secara sporadik melalui saringan bergejala menjadi faktor utama jumlah kes meningkat mendadak di semua daerah di Sabah.

Secara keseluruhan, katanya 58.52 peratus atau 2,277 daripada 3,891 kes baharu di seluruh negeri semalam adalah kes saringan bergejala yang berpunca daripada jangkitan sporadik.

"Peratusan kes jangkitan sporadik di daerah yang mencatatkan kes tiga angka adalah tinggi iaitu 68 peratus di Kota Kinabalu, manakala 78 peratus di Sandakan, diikuti Tuaran (49.2 peratus), Penampang (45.7 peratus), Papar (55.8 peratus), Tawau (57.1 peratus), Lahad Datu (60.8 peratus), Beaufort (52.6 peratus, Ranau (85.7 peratus) dan Kota Belud 42 peratus.

"Kita boleh rumuskan bahawa peratusan jangkitan secara sporadik (bergejala) yang tinggi adalah penyebab kepada perebakan virus yang begitu cepat dan meluas di daerah terbabit dan akan menjadi faktor penentu kepada jumlah kes baharu dalam masa terdekat.

"Walaupun jumlah hari ini (semalam) turun sedikit berbanding semalam (kelmarin), kemungkinan besar tidak akan bertahan dengan mengambil kira peratusan kes jangkitan sporadik yang amat tinggi," katanya.

Secara keseluruhan jangkitan kes baharu COVID-19 di Sabah berkurang sedikit sebanyak 216 kes kepada 3,891 kes semalam berbanding 4,107 kes kelmarin.

Daerah Kota Kinabalu kekal mencatat kes tertinggi di Sabah dengan 914 kes semalam, diikuti Sandakan (478), Tuaran (414), Penampang (389), Papar (256) dan Tawau (245).

Masidi berkata, keseluruhannya sebanyak 10 daerah mencatat kes tiga angka semalam, diikuti 16 daerah mencatat kes dua angka, manakala hanya satu daerah iaitu Kalabakan mencatat kes satu angka.

Bagaimanapun, katanya 99.74 peratus atau 3,881 orang daripada 3,891 pesakit yang dijangkiti COVID-19 semalam berada dalam Kategori 1 dan Kategori 2, manakala masing-masing seramai empat pesakit dalam Kategori 3 dan Kategori 4, diikuti dua orang dalam Kategori 5.

Dalam pada itu, lima kes kematian disebabkan COVID-19 turut dilaporkan semalam, masing-masing dua kes di Tuaran dan Tawau, manakala satu kes lagi di Telupid.

Seramai 620 pesakit pula dilaporkan sembuh, manakala 2,776 pesakit masih dirawat.

Sumber | BH Online





............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo