NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Keputusan permohonan Najib gantung prosiding saman 22 Februari

Bekas Perdana Menteri (Tengah), Datuk Seri Najib Razak. - Foto Google

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 22 Februari untuk keputusan permohonan Datuk Seri Najib Razak bagi menggantung prosiding saman sivil SRC International Sdn Bhd terhadap beliau membabitkan dana AS$1.18 bilion.

Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin menetapkan tarikh selepas mendengar hujahan peguam Harvinderjit Singh yang mewakili bekas perdana menteri itu dan Datuk DP Naban yang mewakili SRC, subsidiari 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Saman itu berhubung dakwaan melakukan pecah amanah jenayah dan melanggar kewajipan statutori berhubung pinjaman RM4 bilion Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan)(KWAP) kepada SRC.

Dalam prosiding, Harvinderjit berhujah anak guamnya mahu saman itu digantung sehingga selesai sepenuhnya kes jenayah membabitkan RM42 juta dana SRC, yang berada di peringkat akhir di Mahkamah Persekutuan serta tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan RM27 juta dana syarikat itu di Mahkamah Tinggi di sini.

Beliau berkata, penangguhan prosiding itu sementara menunggu penyelesaian akhir perlu dibenarkan atas alasan mengelak keputusan yang bercanggah apabila persoalan atau isu adalah sama, serta untuk memastikan tiada gangguan terhadap prosiding jenayah yang belum selesai.

Sementara itu, Naban yang membantah perkara itu berkata, berdasarkan kajiannya, tiada kes dilaporkan membabitkan kes jenayah di peringkat rayuan yang belum selesai menyebabkan prosiding sivil ditangguhkan.

"Seperti yang ditegaskan oleh rakan saya, beliau (Najib) telah memberikan keterangan, dia kini berada di Mahkamah Rayuan dan mahu membawa lebih banyak bukti, jadi hak berdiam diri tidak akan terjejas. Justeru, permohonan ini perlu ditolak dengan kos," katanya.

Pada 7 Mei lalu, SRC di bawah pengurusan baharu telah memulakan tindakan perundangan terhadap Najib dan beberapa bekas pengarahnya iaitu Datuk Suboh Md Yassin, Datuk Mohammed Azhar Osman Khairuddin, Nik Faisal Ariff Kamil dan Datuk Che Abdullah @ Rashidi Che Omar, Datuk Shahrol Azral Ibrahim Halmi dan Tan Sri Ismee Ismail.

Bagaimanapun, syarikat itu kemudiannya menggugurkan enam nama daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan.

Dalam writ samannya, SRC mendakwa Najib telah menyalahgunakan kuasa dan memperoleh manfaat peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana itu.

Najib adalah Penasihat Emeritus SRC dari 1 Mei 2012 hingga 4 Mac 2019.

SRC yang kini dimiliki sepenuhnya oleh Menteri Kewangan (Diperbadankan) (MKD), menuntut ganti rugi am, teladan, tambahan dan faedah, kos serta relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.

Pada 7 Disember lalu, Mahkamah Rayuan mengekalkan sabitan serta hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib bagi kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC setelah menolak rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 28 Julai 2020.

Pada hari yang sama, Najib memfailkan notis untuk merayu ke Mahkamah Persekutuan. – BERNAMA




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo