NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

'Selesai menziarah pusara suami, warga emas rempuh kubur'

Seorang warga emas pitam ketika memandu menyebabkan keretanya merempuh Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, di sini, pagi tadi

SEREMBAN: Kejadian sebuah kenderaan yang merempuh masuk kawasan perkuburan dekat Tanah Perkuburan Islam Forest Heights, Senawang, di sini, pagi tadi berlaku akibat pemandunya pitam.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, pemandunya seorang wanita dikatakan mengalami Hipoglisemia atau kekurangan gula dalam darah ketika mahu memandu keluar dari kawasan parkir selepas menziarahi pusara suaminya di situ.

Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof, berkata pemandu berusia 60 tahun itu tidak mengalami kecederaan dan berlaku sedikit kerosakan pada dua tapak kubur.

"Tular beberapa gambar di laman sosial memaparkan kejadian sebuah kenderaan jenis Perodua Myvi melanggar kawasan tanah perkuburan Islam di Senawang, hari ini.

"Siasatan lanjut dapati kemalangan berlaku sekitar jam 10 pagi apabila sebuah kereta yang dipandu seorang wanita berumur 60 tahun seorang diri selepas menziarahi kubur suaminya di lokasi kejadian," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, ketika hendak bergerak keluar dari tanah perkuburan itu, pemandu Perodua Myvi berada dalam keadaan kekurangan gula dalam darah, lalu pitam menyebabkan kenderaan yang dipandunya bergerak ke hadapan secara tidak sengaja lalu melanggar dua tapak perkuburan.

"Pelanggaran menyebabkan kerosakan pada dua tapak perkuburan manakala hanya kerosakan kecil yang dialami pada bahagian hadapan kereta dipandunya.

"Tiada kecederaan yang dialami wanita terbabit dan dia sudah menerima rawatan yang sewajarnya," katanya.

Nanda berkata, anak kepada wanita itu pemandu sudah hadir membuat laporan pemakluman kepada pihak polis dan akan bertanggungjawab bagi segala baik pulih ke atas tapak perkuburan yang mengalami kerosakan akibat kejadian itu.

"Siasatan lanjut masih dijalankan," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo