NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Gagal penuhi kehendak Zahid, Najib punca sokongan UMNO, BN kepada Perikatan Nasional goyah

Gambar Hiasan - Foto Google

MERSING: Kedudukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) mula terumbang ambing selepas Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Muhyiddin Yasin, enggan mencampuri kes mahkamah dihadapi Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) yang juga Presiden BERSATU ketika mendedahkan situasi itu, berkata sokongan terhadap kerajaan PN mula goyah apabila beliau berkeras mahu Ahmad Zahid, yang juga bekas Timbalan Perdana Menteri, perlu membuktikan dirinya tidak bersalah dengan melawan tuduhan rasuah di mahkamah.

Katanya, sokongan diberikan terhadap PN hanyalah agenda tersembunyi Ahmad Zahid, bukan seperti yang digembar gemburkan bahawa penyatuan itu demi Islam dan Melayu.

"Beberapa hari selepas saya dilantik menjadi Perdana Menteri, Zahid datang ke rumah saya ketika saya sedang berbincang dengan (Tan Sri) Abdul Hadi Awang, bawa satu fail bertimbun-timbun (dokumen).

"Fail itu rupanya fail kes dia, kes mahkamah dia. Dia bawa pada saya, dia kata, Tan Sri ini fail saya. Saya tanya dia buat apa bawa dan dia kata Tan Sri tolonglah, saya tidak buat apa-apa (kesalahan).

"Saya kata pada dia, kalau tak buat apa yang dituduh buat apa nak takut, pergilah ke mahkamah, kalau tidak bersalah akan dibebaskan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pentas Perikatan Nasional DUN Tenggaroh PRN Johor di pekarangan Learning Centre Sentuhan Kasih Felda Tenggaroh 3, Mersing, di sini malam tadi.

Turut hadir Presiden Gerakan yang juga Timbalan Pengerusi PN, Senator Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai; Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan; Pesuruhjaya Pas Johor, Abdullah Hussin dan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Muhyiddin berkata, berpunca dari perasaan marah Ahli Parlimen Bagan Datuk itulah, kerajaan MN dipimpinnya goyah hingga tersungkur dengan beberapa peristiwa politik hingga menyebabkannya terpaksa meletakkan jawatan sebagai Perdana Menteri.

"Kemudian Zahid Hamidi menghantar beberapa wakilnya untuk memujuk supaya kes beliau ditangguh atau dilambat-lambatkan.

"Saya kata 'sorry', saya punya pendirian dalam soal mahkamah, mahkamah adalah satu badan kehakiman yang besar dan saya tidak boleh campur tangan walaupun Perdana Menteri. Saya kata, saya tidak boleh bebaskan dia, saya tidak boleh buat begitu tuan-tuan.

"Mana boleh buat begitu saya beritahu dia, ini soal mahkamah, tidak boleh buat begitu, pergi ke mahkamah (kalau tidak bersalah) bebaslah kau. Rupanya dia marah dan tidak berpuas hati," katanya.

Katanya, permintaan tersebut katanya, tidak dilayan dan tetap bertegas bahawa dirinya tidak boleh masuk campur kes mahkamah apatah lagi kes itu melibatkan jumlah jutaan ringgit.

Katanya, terkejut apabila dirinya turut menerima kunjungan pemimpin UMNO termasuk Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak yang membawa hajat tertentu.

"Satu hari boss awak, boss awak siapa boss dia, bossku, malu apa bossku, malu apa bossku tak malu. Bossku datang ke pejabat saya beri penghormatan sebagai Perdana Menteri, dalam cerita punya cerita, dia cerita juga kes mahkamah.

"Kalau boleh minta saya keluarkan (bekas hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri Gopal) Sri Ram suruh saya buang Sri Ram (yang mengetuai pasukan pendakwaan dalam perbicaraan kes Najib melibatkan 1Malaysia Development Bhd).

"Mana boleh, saya tidak akan buat macam itu, (dia) marah lagi, akhirnya dalam tempoh beberapa bulan kedudukan kerajaan yang awal-awal ok dah jadi macam tak berapa ok, bergoyang-goyang," katanya.


Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo