NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

“Buktikan Kita Mampu Hidup Tanpa Ulama” – Mohd Syazreen Abdullah


JUMAAT, 25 Februari 2022 – “Ulama tidak lagi relevan, berfungsi dalam iklim demokrasi hari ini.” Demikian petikan ulasan buku yang ditulis oleh saudara Mohd Syazreen Abdullah dalam artikelnya yang bertajuk “Negara Tanpa Ulama”. Beliau banyak memetik pendapat dan kajian yang dijalankan oleh Ahmet T. Kuru.

Menurutnya, ulama gagal faham bahasa kemodenan dan perundangan di tengah pendemokrasian. Hal ini dibuktikan perolehan kajian Kuru terhadap penghalang kemajuan di 50 buah negara majoriti Muslim.

Aspek-aspek kemunduran ini disimpulkan banyak faktor seperti aspek sosiopolitik, proses Islamisasi perundangan dan amalan ekonomi (rentierisme).

Mabuk Kuasa dan Agama

Beliau memetik Kuru yang berkata,

‘Penyebab mabuk kuasa dan agama ini berpunca daripada banyak sebab. Secara ideologi negara yang disegandingkan dengan ulama ini sering berlaku banyak masalah menerima kepelbagaian pandangan khususnya pendapat mengenai hal-hal agama.’

‘Kebanyakan negara yang terbukti kemunduran ini mengikat tali mati dalam soal pengambilan hukum agama.’

‘Metodologi yang digunakan Al-Quran, hadis, ijmak dan qiyas menjadi sumber pengetahuan Islam yang tidak boleh dicabar dalam mentafsirkan Islam.’

‘Bahkan pandangan ini memaksa kita mengikut disiplin tersebut dalam demokrasi tanpa sempadan hari ini walaupun hukum perundangan tersebut tidak lagi relevan zaman kini.’

Dalam dapatan buku yang sama, beliau memetik undang-undang murtad dijadikan instrumen oleh perikatan negara-ulama ini bagi menutup suara-suara kebebasan dan hak. Ulama dikatakan menunggang kekuasaan dan agama demi agenda kekuasaan.

Menurutnya, pandangan mundur lagi konservatif ini seharusnya ditafsir ulang. Yang menjadi halangan ialah perangai bebal ulama dan agamawan hari ini yang ego dan mabuk kuasa tidak sesekali mahu melakukan hal demikian.

Sikap demikian, menurut Kuru menjadi punca kemunduran dunia Islam hari ini. Perundangan Islam manusiawi ini dibunuh oleh undang-undang selaras tokoh ulama yang didakwa malas memahami kedinamikan Syariah dan perundangan.

Hukuman dijatuhkan terhadap pandangan yang mencabar autoriti mereka. Mereka didakwa mahu penafsiran agama digenggam dan dikawal oleh tangan-tangan mereka. Semua itu dilakukan demi kekuasaan dan agenda politik tertentu. Apa yang berlaku ini tidak Islamik menurut penulis. Ia bertentangan dengan sifat demokratik, sebaliknya bersifat autoritarian.

Penulis membangkitkan persoalan, apa yang mahu disampaikan oleh Kuru dalam bukunya?

Kuru dikatakan menyimpulkan kesedaran tentang bahaya amalan autoritarian dan kesannya dalam dunia Islam harus disedari oleh orang Islam hari ini. Ia menjadi lebih parah apabila muslim sendiri tidak sedar.

Orientalis dan Barat sentiasa dianggap sebagai punca sedangkan kemudaratan ini adalah disebabkan oleh ulama itu sendiri.

Hal ini berisiko menyumbang kepada penyakit Islamofobia dan anti-Barat.

Malangnya, menurut penulis, seruan pembaikan ini sama sekali tidak wujud di Malaysia. Sebaliknya ciri-ciri kemunduran yang dimaksudkan oleh Kuru lebih ternyata terang lagi bersuluh memang wujud sedia ada.

Penulis cuba untuk mencari punca kepada masalah ini.

Budaya masyarakat yang cintakan ulama, sehingga membenci ulama dianggap membenci Islam dikatakan antara menjadi punca masalah kemunduran ini.

Sedangkan banyak ulama tidak punya kemampuan dalam memahami masalah dunia tanpa sempadan hari ini. Ulama dikatakan penulis sebagai cuba untuk menunjuk pandai dalam bidang-bidang di luar kepakaran mereka seperti ekonomi, sains, falsafah metafizik dan sebagainya.

Realitinya, menurut penulis, umat Islam tidak hidup berdamping dengan ulama yang sejati sebagaimana tingginya keilmuan para ulama dahulukala pernah kita kecapi.

Tambah penulis lagi, ulama yang didampingi hari ini adalah mereka yang malas mengkaji, hilang sabar, tiada hikmah dan bijaksana dalam soal kehidupan beragama.

Kebobrokan sistem yang menindas juga tidak berani dikritik mereka. Mereka juga membantah perilaku patriarki dalam keganasan rumah tangga.

Lebih jijik, menurut penulis, kita rela hidup di bawah ulama yang berdampingan dengan negara yang bersekongkol dengan segala kezaliman serta membenarkan korupsi.

Penulis menutup penulisan dengan soalan dan kenyataan berikut,

“Jadi kenapa kita perlu bersusah payah hidup bersama ulama seperti ini?”

“Mengapa perlu hormat dan memuliakan ulama seperti ini?”

“Negara sama sekali tidak akan maju bersama ulama begini. Kita harus belajar dari kajian Ahmet T. Kuru ini betapa sikap ulama begini mendatangkan mudarat besar kepada umat.”

Penulis menegaskan, negara yang mendambakan keamanan dan kemajuan tidak memerlukan kepada ulama. Sebaliknya negara aman memerlukan manusia yang punya kebijaksanaan mengurus tadbir, simpati kemanusiaan, etika yang tinggi tanpa sempadan agama, budaya dan bangsa!

Beliau menutup petikan dengan seruan “Buktikan kita mampu hidup tanpa ulama!”

Sumber | 




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo