NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

1MDB : SPRM mula siasatan terhadap Rohana Rozhan

KUALA LUMPUR: Siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Astro Malaysia Holdings Bhd, Datuk Rohana Rozhan berjalan selama lebih lapan jam, semalam.

Rohana dilaporkan tiba pada jam 9 pagi semalam bagi membantu siasatan berhubung pendedahan bekas pegawai bank Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dalam kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Siasatan dijalankan berkaitan pemberian sebuah rumah di London bernilai lebih AS$10 juta (RM41.8 juta) kepada Rohana.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan siasatan yang dijalankan terhadap Rohana.

Sementara itu, sumber berkata, perkembangan siasatan berhubung kes berkenaan akan dimaklumkan dari semasa ke semasa dan Rohana akan dipanggil kembali sekiranya dia perlu berbuat demikian.

"Dia dipanggil bagi membolehkan siasatan dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pembiayaan Keganasan (AMLA) 2001.

"Siasatan terhadapnya selesai pada jam 6 petang pada hari sama (semalam)," katanya kepada BH, hari ini.

Terdahulu, perbicaraan kes 1MDB di Amerika Syarikat bertukar sensasi selepas Leissner memberi keterangan yang dia mempunyai hubungan dengan Rohana.

Memetik laporan Bloomberg, ketika ditanya oleh pendakwa, Drew Rolle mengenai hubungan berkenaan, Leissner berkata, hubungannya dengan Rohana berlanjutan sejak 2003 hingga 2013. Hubungan mereka kemudiannya berakhir apabila Leissner berkahwin dengan selebriti Kimora Lee.

Leissner turut ditanya sama ada dia pernah memberikan sejumlah wang diterimanya ketika bekerja dengan 1MDB dan mengakui berbuat demikian, malah membelikan kekasihnya rumah pada 2013 selepas Rohana mengancam mendedahkan pembabitannya dalam 1MDB.

Leissner mengaku bersalah pada 2018 kerana terbabit dalam pelanggaran undang-undang antirasuah Amerika Syarikat dan konspirasi pengubahan wang.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo