NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Tiada keperluan untuk PKP, hanya pastikan SOP dipatuhi


KUALA LUMPUR: Pakar kesihatan awam berpandangan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bukan penyelesaian terbaik bagi menangani penularan varian Omicron mengambil kira dua musibah besar dihadapi rakyat ketika ini, iaitu implikasi penularan COVID-19 dan banjir besar di beberapa negeri.

Pakar Perubatan Kesihatan Awam Fakulti Perubatan Universiti Malaya, Prof Dr Victor Hoe Chee Wai Abdullah, berkata langkah yang sedang dilaksanakan kerajaan ketika ini sudah memadai untuk mengelakkan gelombang penularan Omicron yang lebih besar.

"Beberapa minggu lagi kita mungkin melihat peningkatan jumlah kes, namun jika rakyat mengambil langkah pencegahan secara konsisten, keadaan dapat dikawal.

"Langkah untuk menutup sempadan atau melaksanakan PKP dalam masa terdekat tanpa mempertimbangkan impak ekonomi kepada rakyat tentunya bukan cara terbaik.

"Rakyat kini berdepan implikasi kewangan yang besar kerana dua musibah besar iaitu banjir dan COVID-19. Saya berpandangan, berbanding tindakan menutup sempadan, ada cara lain yang boleh dilaksanakan seperti memperketatkan kawalan pencegahan dengan memberi tumpuan kepada prosedur kuarantin dan menjalankan lebih banyak ujian saringan," katanya kepada BH hari ini.

Mengulas lanjut, jelasnya, PKP mungkin wajar dilaksanakan sekiranya sistem kesihatan awam menunjukkan tanda kritikal dan berisiko untuk lumpuh.

"Malaysia bertuah kerana rakyat di sini lebih patuh kepada SOP semasa yang ditetapkan kerajaan, selain itu, kadar vaksinasi kita juga tinggi dengan masyarakat turut mengambil saranan untuk menerima dos penggalak.

"Kita memerlukan pelbagai lapisan (strategi) untuk mendepani pandemik semasa COVID-19 ketika ini. Tidak ada satu langkah pencegahan yang boleh menghalang penyebaran wabak COVID-19 walaupun untuk varian Omicron.

"Semua perkara yang perlu mesti dibuat, iaitu vaksinasi dan pematuhan kepada SOP termasuk memakai pelitup muka di tempat awam, memastikan berlaku penjarakan sosial, mengelakkan tempat yang sesak dan bersembang secara rapat," katanya.

Tegasnya, keprihatinan dan sikap bertanggungjawab masyarakat adalah kunci utama untuk mengurangkan risiko penularan semasa.

"Jika anda pergi ke tempat atau misalnya lokasi bekerja tidak mematuhi SOP, buatlah aduan segera. Bagi pekerja, mereka mempunyai hak untuk bekerja dalam persekitaran yang selamat dan sihat sebagaimana termaktub dalam Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA 1994).

"Jadi, mereka ada hak untuk tidak hadir bekerja di tempat yang melanggar SOP ditetapkan dan laporkanlah kepada Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (DOSH) jika mendapati keadaan tempat kerja tidak selamat atau memberi ancaman keselamatan," katanya.

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam, Datuk Dr Zainal Ariffin Omar, berkata negara berkemampuan melawan penularan Omicron tanpa perlu kepada tindakan penguatkuasaan lebih ketat termasuk pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sepenuhnya.

"Saya yakin, kita mampu menangani penularan jangkitan varian Omicron ini tanpa perlu pelaksanaan PKP. Apa yang paling penting, orang ramai perlu melengkapkan vaksinasi termasuk segera mendapatkan dos penggalak.

"Pada masa sama, amalan prosedur operasi standard (SOP) perlu diteruskan seperti biasa," katanya kepada BH.

Dr Zainal Ariffin yang juga Pengerusi Volunteers For Community Engagement and Empowerment For COVID-19 (VCEE19) turut mengingatkan orang ramai supaya tidak panik dengan pelbagai laporan berhubung penularan jangkitan Omicron dan dinasihatkan tidak menyebarkan sebarang berita tidak sahih.

Mengulas pandangan sesetengah pihak yang menggesa kerajaan menutup sepenuhnya pintu sempadan negara terutama bagi aktiviti pelancongan, jelasnya buat masa ini tidak ada keperluan untuk tindakan itu dilaksanakan.

"Apa yang lebih penting adalah teruskan kehidupan dengan norma baharu tanpa berlebihan atau terlampau yakin (tetap ambil langkah waspada).

"Tidak perlu sampai perlu menutup sempadan negara termasuk untuk ibadat umrah. Tumpuan perlu diberikan untuk kuarantin mereka yang datang atau pulang dari negara berisiko," katanya.

Sebelum ini, Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata gelombang varian membimbangkan (VOC) Omicron berkemungkinan besar akan turut melanda Malaysia.

Jelasnya, Malaysia menggunakan beberapa strategi seperti memperluaskan liputan dos penggalak, mengawal pintu masuk antarabangsa dan TRIIS (uji, lapor, pengasingan, maklumkan, dapatkan) dan MySJ Trace bagi mengelakkan penularan Omicron.


--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo