76 peratus kes Omicron Disember lalu babit jemaah umrah


KUALA LUMPUR: Sebanyak 76.1 peratus atau 928 daripada 1,220 kes positif COVID-19 berkemungkinan varian Omicron yang direkodkan bulan lalu membabitkan jemaah umrah.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata data itu diperoleh daripada hasil ujian PCR Genotyping Assay oleh Institut Penyelidikan Perubatan (IMR).

Katanya, ujian itu dibuat terhadap 1,774 kes positif COVID-19 membabitkan pengembara yang tiba di negara ini pada bulan berkenaan.

"Ujian PCR Genotyping Assay dijalankan oleh IMR ke atas 1,774 kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba di Malaysia untuk tempoh 1 hingga 31 Disember 2021 mendapati 1,220 (68.8 peratus) sampel adalah berkemungkinan (presumptive) Omicron dan 928 (76.1 peratus) daripadanya pulang dari Arab Saudi," katanya melalui Twitter.

Berdasarkan infografik yang turut dimuat naik Dr Noor Hisham, semalam terdapat 39 kes baharu COVID-19 varian Omicron yang membabitkan pengembara rakyat Malaysia yang berlepas dari Arab Saudi.

Ia membabitkan sembilan kes berdaftar di Selangor diikuti Johor (lapan), Terengganu, Kedah dan Kelantan (masing-masing empat), Perak (tiga), Pulau Pinang (dua) dan masing-masing satu kes di Negeri Sembilan, Labuan dan Sabah.

Sebanyak 20 kes berada dalam kategori satu, manakala 12 kes kategori dua dan hanya satu kes kategori tiga.

Sebanyak tujuh lagi kes COVID-19 varian Omicron membabitkan pengembara berlepas dari Emiriah Arab Bersatu (UAE), United Kingdom (empat), Nigeria (dua) serta masing-masing satu kes dari Kazakhstan dan Perancis.

Empat daripada kes COVID-19 varian Omicron yang dilaporkan semalam adalah penularan tempatan di Kedah.

Sementara itu, Menteri Kesihatan, Khairy Jamluddin menerusi Twitter, berkata apa yang lebih penting ketika ini adalah untuk memperlahankan penularan Omicron.

Katanya, penangguhan ibadah umrah juga dibuat kerana 76 peratus kes berkemungkinan Omicron yang diimport pada Disember adalah dari jemaah umrah.

"Ya, Omicron sudah pun tiba di Malaysia. Tetapi penting untuk kita perlahankan penularan Omicron untuk melindungi kapasiti sistem kesihatan kita.

"Penangguhan umrah kerana 76 peratus presumptive (berkemungkinan) Omicron yang diimport pada Disember dari jemaah umrah," katanya.


--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo