NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Bantuan banjir: Semua perlaksanaan dipastikan PM


KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan beliau akan memastikan semua pihak memikul tanggungjawab sebaik-baiknya bagi memastikan urusan pengagihan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh negara berjalan lancar.

Beliau berkata, perkara itu dibincangkan dalam Mesyuarat Kabinet pertama pada 2022 pagi tadi demi memastikan semua bantuan yang diumumkan kerajaan sebelum ini sampai kepada penerima dengan segera.

Katanya, beliau turut memberi peringatan kepada semua anggota Kabinet yang mereka mempunyai peranan masing-masing sewaktu negara berdepan krisis kesihatan, ekonomi dan bencana.

"Berikutan bencana banjir negara, saya akan pastikan setiap pihak menggalas tugas sebaiknya dalam melancarkan urusan pemberian bantuan-bantuan kerajaan. Segala bantuan yang telah diumumkan mesti disegerakan.

"Saya turut mengingatkan anggota Kabinet bahawa semua orang mempunyai peranan masing-masing dalam menghadapi krisis kesihatan, ekonomi dan bencana yang melanda negara.

"Saya yakin dan percaya, dengan tumpuan dan dedikasi dari semua, cabaran ini dapat kita lalui dengan tenang, sebagai sebuah Keluarga Malaysia," katanya melalui Facebook, hari ini.

Sementara itu, Perdana Menteri, berkata selain isu pengurusan banjir dan pascabanjir, mesyuarat Kabinet turut memberi penekanan terhadap isu penangguhan ibadah umrah bagi jemaah Malaysia, atas sebab penularan varian Omicron di Tanah Suci.

Dalam perutusan khas sempena tahun baharu 2022 pada Jumaat lalu, Ismail Sabri mengumumkan Bantuan Banjir Keluarga Malaysia melibatkan pemberian tunai kepada mangsa banjir yang boleh mencecah RM10,000 bagi setiap Ketua Isi Rumah (KIR).

Ia adalah usaha kerajaan untuk mengurangkan beban rakyat yang terjejas akibat bencana itu tanpa perlu mengeluarkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).

Kerajaan turut menyediakan bantuan tunai sehingga RM5,000 bagi setiap keluarga untuk kerja pembaikan rumah kepada mangsa banjir yang mengalami kerosakan tidak serius.

Bagi kerosakan serius, kerajaan akan mengurus baik pulih kediaman dengan kos sehingga RM15,000 manakala rumah yang musnah dan tidak boleh diduduki, bantuan sehingga RM56,000 akan diberikan untuk setiap unit rumah dibina baharu.


--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo