NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Sebak terima ijazah arwah suami

KUALA NERUS, 25 Januari – “Segala kerja keras suami berbaloi apabila tamat pengajian sarjana pada 2020, tetapi saya sedih kerana arwah tidak sempat meraikan kejayaannya menggulung ijazah,” ujar Nor Hidayu Abd Wahab, 30, sambil menahan sebak.

Isteri kepada Allahyarham Mohd. Huzir Mohamed, 35,berkata dia tidak dapat menahan air mata ketika menaiki pentas menerima skrol ijazah sarjana mewakili Allahyarham suaminya pada Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) kali ke-12.

“Semasa kami berkahwin, arwah memberitahu niatnya untuk sambung belajar hingga ke tahap Doktor Falsafah (Phd) sebelum berusia 40 tahun, namun apa daya perjuangan hanya sampai di sini. 

"Walaupun sedih suami tidak dapat mengambil sendiri skrol ini tapi saya bangga kerana arwah berjaya menamatkan ijazah sarjana yang merupakan impiannya," katanya kepada pemberita selepas menerima Majlis Idul Ilmi Konvokesyen Ke-12 Unisza, di sini semalam.



Menurut Nor Hidayu, suaminya berkhidmat sebagai Pengarah Khidmat Pengurusan di Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu dan memiliki Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang sebelum menyambung pengajian di UniSZA.

Allahyarham Mohd Huzir yang menamatkan pengajian Ijazah Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan pada 2020, meninggal dunia tahun lepas akibat serangan jantung pada usia 35 tahun.

Katanya, kematian suaminya disedari apabila rakan Mohd. Huzir memaklumkan gagal menghubungi Allahyarham, sekali gus dia bergegas pulang ke rumah di Kampung Ladang, Kuala Terengganu dari tempat kerja untuk memeriksa keadaan

Menurut Nor Hidayu yang bekerja sebagai pembantu kedai cermin mata, dia masih terkesan dengan pemergian Mohd. Huzir terutama apabila kejadian itu berlaku pada tarikh sama ulang tahun perkahwinan ketiga mereka.

Pada majlis konvokesyen UniSZA kali ke-12, seramai 3,345 graduan UniSZA menerima ijazah masing-masing selama lima hari bermula Ahad.

Sumber | TRDI

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo