NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dua premis judi tamat operasi, kerajaan Kedah tidak perbaharui lesen

ALOR SETAR - Dua premis perjudian di Baling terpaksa menamatkan operasi susulan kerajaan Kedah tidak lagi memperbaharui lesen miliknya yang tamat tempoh.

Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, seperti diputuskan pada November lalu, kerajaan Kedah tidak lagi memberi kelulusan sama ada untuk permohonan baharu lesen perjudian atau memperbaharui lesen perjudian yang tamat tempoh di seluruh negeri itu.

"Setakat ini, terdapat lebih kurang 50 premis perjudian masih beroperasi di Kedah.

"Saya dimaklumkan dua premis di Baling telah tamat lesen premis perjudian manakala lesen bagi premis perjudian lain akan tamat secara berperingkat," katanya ketika ditemui selepas Program Penyampaian Hamper sempena Tahun Baharu Cina di Wisma Darul Aman di sini, pada Selasa.

Hadir sama, Exco Perumahan, Alam Sekitar, Perpaduan dan Hal Ehwal Masyarakat Cina dan Siam Kedah, Dr Robert Ling Kui Ei.

Dalam pada itu, Muhammad Sanusi meminta sedikit tempoh masa bagi mendapatkan maklumat lengkap berhubung isu lesen perjudian tersebut.

Katanya, selain itu pihak Kerajaan Tempatan menghantar surat kepada Kementerian Kewangan Malaysia (MOF) memaklumkan, bahawa dasar Kerajaan Negeri Kedah tidak akan membaharui lesen perjudian.

"Jadi, diharap MOF tidak lagi keluarkan lesen perjudian di Kedah," katanya.

Pada 14 November 2021, Sinar Harian melaporkan kerajaan negeri Kedah memutuskan untuk tidak memberi kelulusan kepada permohonan baharu lesen perjudian serta tidak memperbaharui lesen perjudian sedia ada selepas ia tamat tempoh.

Muhammad Sanusi memaklumkan keputusan itu dibuat bagi mewujudkan persekitaran lebih baik untuk rakyat selain mencapai sasaran ‘Kedah bebas judi’.

Sumber | Sinarharian

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo