NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Najib gagal rayuan kes saman Ambank

PUTRAJAYA – Datuk Seri Najib Tun Razak gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan di sini hari ini agar samannya terhadap Ambank, bekas pegawai dan satu lagi didengar semula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Keputusan sebulat suara itu dibuat panel tiga hakim yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam, Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim selepas menolak rayuan Najib selain mendapati rayuan tersebut tidak mempunyai sebarang merit dan tiada kekhilafan dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur yang membolehkan keputusan sebelum ini dipinda.

Mahkamah turut memerintahkan Najib membayar kos bagi Ambank, AMMB Holdings Berhad (AMMB Holdings) masing-masing RM40,000 manakala terhadap bekas bekas Pegawai Perhubungan bank itu, Joanna Yu Ging Ping sebanyak RM35,000.

Pada 9 Disember 2019, Najib memfailkan saman tersebut terhadap AmBank, AMMB Holdings dan Ging Ping atas alasan kesemua defendan tersebut telah melakukan kecuaian ketika mengendalikan akaun banknya dengan mendedahkannya kepada ahli perniagaan dalam buruan Low Taek Jho atau Jho Low.

Ging Ping juga merupakan saksi pendakwaan ke-54 dalam perbicaraan kes Najib berhubung penyelewengan dana SRC International Sdn. Bhd. berjumlah RM42 juta.

Najib telah disabitkan dengan kesalahan tersebut oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan dihukum penjara 12 tahun serta denda RM210 juta. Beliau kini dibebaskan sementara menunggu rayuannya akhirnya di Mahkamah Persekutuan.

Pada 28 September 2020, Hakim Datuk Khadijah Idris membenarkan permohonan tiga defendan tersebut untuk membatalkan saman itu selepas mendapati saman itu tidak boleh dipertahan, melampau, menyakitkan hati, remeh dan menyalahgunakan proses mahkamah.

Tambah hakim itu, tindakan Najib memfailkan saman tersebut bukanlah untuk mendapatkan ganti rugi tetapi sebaliknya bertujuan untuk mengukuhkan pembelaannya dalam perbicaraan kes SRC International. 

Sumber | K!ONLINE

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo