NOTIS:

Belum ada lagi....

Pengurusan kes pecah amanah RM6.6 bilion Najib-Irwan Serigar didengar 1 Mac

0
MOHD Irwan Serigar Abdullah (kiri) dan Najib Razak. FOTO arkib NSTP

Kuala Lumpur: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 1 Mac depan bagi pengurusan kes Datuk Seri Najib Razak dan bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan Tan Sri Mohd Irwan Serigar Abdullah berhubung enam pertuduhan pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion.

Timbalan Pendakwa Raya Shafiq Hasim ketika ditemui pemberita berkata, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh tersebut untuk kedua-dua pihak memaklumkan kepada mahkamah mengenai perkembangan kes pecah amanah serta kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan laporan audit membabitkan bekas perdana menteri itu.


"Pihak pendakwaan memohon tarikh baharu untuk pengurusan kes berikutan kes 1MDB membabitkan Datuk Seri Najib masih berlangsung di peringkat pemeriksaan balas saksi pendakwaan ke-12 iaitu bekas Ketua Pegawai Kewangan 1MDB Azmi Tahir dengan saksi-saksi serta keterangan yang akan dikemukakan pada perbicaraan kes pecah amanah itu adalah sama dengan kes 1MDB," katanya.

Peguam Syahirah Hanapiah yang mewakili Najib turut mengesahkan perkara itu.

Hari ini ditetapkan untuk pengurusan kes pecah amanah itu. Najib dan Mohd Irwan Serigar yang memakai sut lengkap, hadir pada prosiding hari ini.

Pada 9 Oktober 2020, Hakim Muhammad Jamil menetapkan perbicaraan kes pecah amanah itu selama 32 hari pada setiap hari kecuali Jumaat sekitar September dan Oktober 2021, namun dilapangkan bagi memberi laluan kepada dua kes berkaitan 1MDB membabitkan Najib.

Tarikh baharu perbicaraan kes pecah amanah itu belum ditetapkan.

Pada 25 Oktober 2018, Najib, 68, dan Mohd Irwan Serigar, 64, mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pecah amanah ke atas harta kerajaan Malaysia berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC).

Najib dan Mohd Irwan Serigar dituduh melakukan kesemua kesalahan itu di Kompleks Kementerian Kewangan Malaysia di Putrajaya antara 21 Disember 2016 dan 18 Disember 2017.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan serta boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo