NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Agihan kerusi PN bagi PRN Johor seminggu lagi


PAGOH: Perikatan Nasional (PN) akan memuktamadkan agihan kerusi bersama parti komponennya bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, dalam tempoh seminggu lagi.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, keputusan itu akan dibuat selepas selesai rundingan bersama rakan dalam parti gabungan termasuk Pas serta Parti Gerakan Rakyat Semalaysia (Gerakan).

"Kita hampir selesai agihan kerusi, tapi mesyuarat tadi belum selesai dan ada sedikit pertindihan kepentingan antara parti dan soal itu akan diselesaikan pasukan 'negotiator'.

"Perkara itu belum dimuktamadkan hingga diselesaikan pimpinan PN masing-masing di peringkat pusat dan saya jangkakan semua ini akan dapat diselesaikan dalam tempoh seminggu ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat PN Johor di pejabat Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Pagoh, di sini, hari ini.

Mesyuarat berlangsung hampir tiga jam itu turut dihadiri Pesuruhjaya Pas negeri, Abdullah Husin dan Pengerusi Gerakan Johor, Datuk Teo Kok Chee.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada PN sedia bekerjasama dengan Pakatan Harapan (PH) dalam PRN Johor, beliau berkata, sehingga kini tiada lagi usaha atau gerakan untuk melakukan perkara berkenaan.

"Setakat ini tidak ada lagi 'move' terhadap perkara itu, jadi saya tiada apa nak nyatakan perlu atau pun tidak.

"Dalam politik ini, apa saja boleh terjadi dan setakat hari ini tidak ada lagi, tetapi kalau ada akan datang nanti pimpinan parti yang akan putuskan, bukan saya.

"Bukan saya seorang saja untuk membuat keputusan apa nak buat, terima tak terima, tolak dan runding," katanya.

Sumber | HMetro

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo