NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Rugi RM1 juta, seorang nenek ditipu Macau Scam


KUALA LUMPUR: Seorang wanita warga emas kerugian RM1 juta selepas ditipu sindiket Macau Scam yang menyamar sebagai pegawai sebuah syarikat telekomunikasi.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Mohd Mahidisham Ishak, berkata mangsa yang juga suri rumah berusia 67 tahun menerima panggilan daripada individu mengaku pegawai Telekom Malaysia (TM) pada 15 Januari lalu.

"Suspek mendakwa, maklumat peribadi mangsa digunakan pihak lain untuk pendaftaran talian TM dan mempunyai tunggakan baki bayaran.

"Panggilan itu kemudiannya disambungkan pula kepada seorang 'pegawai polis' dan dalam perbualan itu, mangsa dimaklumkan namanya terbabit jenayah narkotik dan pengubahan wang haram," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, mangsa yang menjalankan perniagaan rumah sewa diarahkan memindahkan semua wang simpanannya berjumlah RM1 juta ke dalam tujuh akaun bank berasingan kononnya untuk tujuan siasatan.

"Sebaik selesai membuat pemindahan wang, mangsa cuba menghubungi semula 'pegawai polis' itu, namun gagal.

"Menyedari dirinya menjadi mangsa penipuan, wanita itu membuat laporan di Balai Polis Tun H S Lee dan siasatan dilakukan oleh Bahagian Siasatan Jenayah Komersial Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi," katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, seorang suri rumah berusia 41 tahun kerugian RM33,800 selepas menjadi mangsa penipuan pelaburan mata wang digital tidak wujud.

Mohd Mahidisham berkata, pada 10 Disember lalu mangsa melayari media sosial dan melihat iklan menawarkan pelaburan mata wang digital dengan keuntungan 400 peratus daripada jumlah modal dalam tempoh sebulan.

"Mangsa kemudian dijemput masuk ke dalam platform Telegram dan diberi pautan ke sebuah laman web yang menerangkan mengenai pendaftaran dan pelaburan mata wang digital itu.

"Selepas mendaftar, mangsa kemudian diberikan satu akaun e-wallet bagi memantau pelaburannya," katanya.

Katanya, antara tempoh 28 hingga 30 Disember lalu, mangsa membuat tujuh transaksi pelaburan berjumlah RM33,800 ke dua akaun bank yang diberikan.

"Pada 15 Januari lalu, mangsa membuat semakan akaun e-wallet miliknya dan mendapati keuntungan RM147,114, tetapi wang itu tidak dapat dikeluarkan.

"Mangsa kemudian menghubungi pihak khidmat pelanggan pelaburan itu dan diarahkan membuat bayaran RM29,423 terlebih dulu sebagai wang jaminan, sebelum wang dalam e-wallet itu dikeluarkan.

"Mangsa yang berasakan dirinya tertipu tampil membuat laporan polis. Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo