NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN : Ketua UMNO bahagian di Johor diarah beri nama calon

JOHOR BAHRU: Setiap ketua bahagian UMNO Johor diarah untuk memberikan dua nama bagi setiap kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), bagi dipertimbangkan sebagai calon parti itu untuk Pilihan Raya Negeri (PRN), yang menjadi spekulasi diadakan tidak lama lagi.

Seorang ketua bahagian UMNO Johor yang enggan namanya didedahkan berkata, itu arahan yang dikemukakan kepada semua 26 ketua bahagian parti itu yang akan menghadiri Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Johor, petang ini.

Katanya, agenda berkenaan antara yang dimaklumkan akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan, sekali gus mengesahkan desas-desus PRN Johor bakal diadakan tidak lama lagi.

"Setiap ketua bahagian UMNO diminta senaraikan dua nama bakal calon untuk setiap kawasan DUN masing-masing.

"Kerusi itu berdasarkan apa yang kita tandingi pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

"Perbincangan lanjut berkaitan calon termasuk kelayakan dan kriterianya akan dibincangkan pada mesyuarat nanti," katanya ketika dihubungi.

Semalam media melaporkan, Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad dijangka menghadap Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, minggu depan bagi memohon perkenan pembubaran DUN Johor.

Sumber UMNO Johor dilaporkan berkata, perkenan Sultan Johor itu bagi membolehkan DUN dibubarkan pada hujung minggu depan.

Untuk rekod, terdapat 56 kerusi di Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14, BERSATU (11), MIC (dua), PAS (satu) sementara AMANAH (enam) dan PKR pula (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian ahli dewan undangan negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian yang juga mantan Menteri Besar, pada 21 Disember lalu.

Dalam pada itu, ketua bahagian berkenaan berkata, keputusan sama ada Barisan Nasional (BN) bergerak solo pada PRN Johor yang bakal diadakan akan diputuskan.

Katanya, beliau berkata ia antara agenda yang disenaraikan selain perbincangan mengenai calon selain persiapan jentera parti.

"Sebelum ini ketetapannya adalah BN bergerak solo seperti dinyatakan kepimpinan tertinggi parti.

"Namun pada mesyuarat berkenaan dijangka akan diputuskan sama ada gabungan lain menyertai BN dalam PRN nanti atau muktamad kita bergerak solo

"Mungkin sudah ada ketetapan yang dibuat oleh kepimpinan tinggi dan mandat berkenaan mungkin akan disampaikan Pengerusi Perhubungan UMNO Johor petang nanti," katanya.

Sumber | BH

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo