NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PRN Johor: Tak mustahil PN, pembangkang kerjasama lawan ‘kesombongan’ BN - AJK PAS

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfodz Mohamed, secara peribadi berpandangan segala kemungkinan boleh berlaku dalam politik, lebih-lebih lagi Umno dilihat semakin rakus untuk mengenepikan PAS daripada kerjasama Muafakat Nasional pada saat mereka kembali menjadi kuat dan memimpin pentadbiran Putrajaya. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Kerjasama PAS dan Perikatan Nasional (PN) dengan blok pembangkang tidak mustahil boleh berlaku bagi menghadapi “kesombongan” Umno dan Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya negeri (PRN) Johor.

Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Mahfodz Mohamed, berkata cadangan itu bagaimanapun mestilah berlandaskan syarat parti pembangkang berkenaan tidak ekstrem dan bersedia meninggalkan DAP sekiranya mereka berada dalam gabungan Pakatan Harapan (PH).

Beliau secara peribadi berpandangan segala kemungkinan boleh berlaku dalam politik, lebih-lebih lagi Umno dilihat semakin rakus untuk mengenepikan PAS daripada kerjasama Muafakat Nasional (MN) pada saat mereka kembali menjadi kuat dan memimpin pentadbiran Putrajaya.


“Umno sewajarnya menyedari sewaktu mereka jatuh teruk selepas kekalahan pilihan raya umum ke-14 (PRU14), parti itu kembali memenangi banyak pilihan raya kecil disebabkan bantuan PAS.

“Kalau ada cadangan untuk mengajak blok pembangkang bersatu dengan PAS dan PN pun tidak mustahil dengan PAS tiada masalah mencari kawan baharu yang tidak ekstrem.

“Sebagai contoh, jika Amanah dan PKR hendak bekerjasama dengan PAS pun boleh, dengan syarat mereka tidak ekstrem dan bersedia meninggalkan DAP,” katanya menurut laporan Sinar Harian.

Beliau berkata demikian bagi mengulas cadangan Bersatu Bahagian Johor Bahru yang mengesyorkan Muafakat Rakyat Johor (MRJ) melibatkan PN dan semua parti pembangkang yang bertanding dalam PRN Johor ditubuhkan bagi tujuan menumbangkan Umno dan BN.

Timbalan Ketua Bersatu Bahagian Johor Bahru, Razrul Anwar Rusli mencadangkan MRJ itu terdiri daripada Bersatu, PN, PH, Pejuang, MUDA dan Warisan.


Ditanya mengenai status perbincangan Umno-PAS bagi menghadapi PRN Johor, Mahfodz mengakui tawaran empat kerusi DUN dikemukakan kepimpinan Umno kepada parti itu adalah tidak wajar.

Sebaliknya, Ketua Sidang Assabiqun PAS Pusat itu berpandangan Umno sepatutnya memberi laluan kepada PAS bertanding sekurang-kurangnya enam kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang disandang Amanah sebelum ini.

“Bagaimanapun, perbincangan dengan Umno dan PN masih berlangsung ketika ini dengan PAS masih berharap ketiga-tiga parti Melayu dan Islam bersedia bekerjasama untuk memastikan kemenangan ummah di Johor lebih kukuh.

“Namun, dengan masalah Umno dan Bersatu nampak tidak boleh bersatu dan BN lebih berminat bergerak solo, PAS mungkin tiada pilihan lain selain kekal dengan PN,” katanya.


Sementara itu, Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Muhammad Faiz Na’aman turut menyokong kerjasama PN bersama blok pembangkang dalam menghadapi keangkuhan dan kegopohan Umno-BN pada PRN Johor.

“Fokus seluruh rakyat khususnya pengundi Johor wajar disatukan bagi membenam ‘kluster mahkamah’ serta pihak yang mendukung golongan itu dalam Umno.

“Yang mempersulitkan rakyat di saat masalah penularan varian Omicron dan ekonomi lembap adalah tindak-tanduk pemimpin Umno yang terlalu berpolitik,” katanya.

Sumber | FMT




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo