NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PKR tidak lagi memakai logo PH, menjadi tanda pepecahan PH


PETALING JAYA: Keputusan Pakatan Harapan (PH) untuk membenarkan PKR menggunakan logo sendiri dalam pilihan raya negeri (PRN) Johor manakala Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH menjadi petunjuk kepada sebuah “gabungan yang berpecah”, kata penganalisis politik.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, keputusan itu secara jelas menunjukkan perpecahan dalam PH terutama selepas gabungan itu kalah teruk pada PRN Melaka, Nov lalu.

PH hanya memenangi lima daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dipertandingkan di Melaka dengan menggunakan logo gabungan itu. DAP memenangi empat kerusi manakala Amanah menang satu kerusi dan PKR pula gagal menang sebarang kerusi.

Oh berkata, beliau percaya DAP dan Amanah akan berasa kecewa dengan Presiden PKR Anwar Ibrahim atas keputusan untuk menggunakan logo partinya sendiri memandangkan dua parti komponen itu melihat beliau sebagai faktor penyatuan sebagai Pengerusi PH, namun isu terbabit dibangkitkan oleh PKR sendiri.

“Mereka juga boleh membawa haluan masing-masing. Apa gunanya membentuk gabungan PH?” katanya kepada FMT.

“Saya rasa ia adalah masalah PKR. Mereka cenderung untuk menyalahkan orang lain atas kekalahan itu kecuali diri mereka sendiri. Mereka tidak mendepani masalah mereka sendiri.”

Katanya, perkara yang penting ialah kekecewaan penyokong PH selepas ia menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan.

Beliau menolak alasan bahawa bendera PH kurang dikenali berbanding PKR dengan berkata, sepanduk gabungan itu turut dicetak dengan perkataan “Pakatan Harapan”.

“Apa lagi yang lebih jelas berbanding itu?” soalnya.

“Mari kita lihat mereka menguji bendera PKR di Johor dan kita akan lihat sama ada logo mereka lebih berpengaruh seperti didakwa.”

Semalam Anwar berkata, Majlis Presiden PH bersetuju membenarkan PKR menggunakan logonya sendiri dalam PRN Johor manakala Amanah dan DAP kekal menggunakan logo PH.

Pengarah Strategik PKR Sim Tze Tzin berkata, ia adalah keputusan penting selain menambah bahawa beliau mempunyai “pengalaman” daripada kekalahan PKR dalam PRN Melaka.

Ahli Parlimen Subang Wong Chen berkata, langkah PKR itu bukanlah perkara luar biasa kerana DAP dan Amanah juga memilih untuk tidak menggunakan logo PH dalam PRN Sabah pada 2020. Mereka sebaliknya bertanding menggunakan bendera Warisan.

Ahmad Fauzi Abdul Hamid dari Universiti Sains Malaysia (USM) bersetuju bahawa keputusan untuk menggunakan logo yang berbeza menjadi petunjuk kepada perpecahan dalam gabungan manakala DAP serta Amanah berhak untuk berasa kecewa.

“Kesalahan terletak pada komponen PH kerana tidak menjadikan jenama PH lebih dikenali berbanding parti individu mereka,” katanya selain menambah bahawa bendera berbeza yang digunakan dalam PRN Johor boleh memusnahkan gabungan itu.

“Sekiranya mereka tidak dapat mencari penyelesaian bersama mengenai logo yang sepatutnya menyatukan maka adakah anda fikir kita boleh mengharapkan kerajaan yang bersatu sekiranya mereka diundi untuk mengambil alih kuasa?”

Sumber | FMT Malaysia

............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo