NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Penggunaan khidmat digital kewangan catat lonjakan 47 peratus


KUALA LUMPUR: Penerimaan pengguna terhadap perkhidmatan kewangan digital terus meningkat tinggi dengan urus niaga melonjak 47 peratus kepada 6.5 bilion dari Januari hingga November 2021 berbanding tempoh yang sama sebelum pandemik pada 2019.

Pendaftaran pembayaran QR oleh peniaga juga telah melonjak daripada sekitar 300,000 sebelum pandemik kepada lebih satu juta setakat separuh pertama 2021.

Timbalan Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Abdul Rasheed Ghaffour, berkata peniaga dan pengguna di Malaysia secara amnya semakin terbuka untuk menerima inovasi kewangan yang baharu.

Beliau berkata, trend itu bukan saja menunjukkan keyakinan orang ramai terhadap perkhidmatan kewangan digital, tetapi ia juga penting untuk memastikan kelangsungan ekonomi terutamanya semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Perkembangan itu juga seiring dengan fokus yang telah diberi oleh BNM dalam membangunkan sektor pembayaran digital dan urus niaga secara elektronik seperti mana yang boleh dilihat dalam pelan strategik sektor kewangan yang lalu," katanya kepada BH menerusi temubual secara emel.

Selain pembayaran digital, Abdul Rasheed berkata, satu lagi trend semasa yang mula mendapat perhatian ialah inovasi 'Insurtech' atau teknologi insurans.

Beliau berkata, ia termasuk model perkhidmatan baharu yang lebih moden dan berpotensi mengurangkan jurang perlindungan insurans dan takaful seperti insurans secara rakan setara atau khidmat pengagregatan insurans dan takaful.

Katanya, perkembangan itu bergerak senada dengan agenda BNM untuk meningkatkan penembusan insurans.

Selain itu, jelasnya, kemajuan dalam aplikasi teknologi seperti pembelajaran mesin automatik dan kecerdasan buatan (AI), teknologi lejar teragih (DLT), perkhidmatan pengkomputeran awan dan analisis data juga berpotensi meningkatkan kecekapan operasi, mengurus risiko dengan lebih berkesan, dan meningkatkan ketelusan dalam perkhidmatan kewangan.

"Strategi pembangunan sektor kewangan yang saya kongsikan ini, khususnya dari segi pendigitalan industri kewangan akan diperincikan dalam Pelan Sektor Kewangan 2022-2026 semasa pelancaran MyFintech Week.

"Pelan ini akan memberikan sorotan tentang aspirasi dan tumpuan utama kami dalam pembangunan sektor kewangan untuk lima tahun yang akan datang," katanya.

Abdul Rasheed berkata, perkembangan industri fintech tanah air adalah hasil usaha padu banyak pihak di sektor awam dan swasta, di samping penduduk Malaysia yang sebahagian besarnya celik digital begitu terbuka menerima inovasi fintech.

Beliau berkata, infrastruktur digital yang moden dan menyeluruh, kemudahan menjalankan perniagaan dan tenaga kerja yang mahir turut mendorong perkembangan industri fintech untuk terus berkembang secara sihat.

"Hasilnya, bilangan syarikat fintech meningkat daripada 39 pada 2016 kepada lebih 200 pada 20201, iaitu kira-kira 43 peratus pertumbuhan tahunan.

"Malah, Laporan Fintech Islam Global 2021 yang mengukur potensi sesebuah negara sebagai hab fintech Islam, meletakkan Malaysia di tempat pertama di antara 64 negara," katanya.

Abdul Rasheed berkata, BNM mengambil pendekatan yang praktikal dalam menggalakkan pendigitalan perkhidmatan kewangan bertujuan memastikan pembangunan sektor kewangan berkembang secara teratur dan membawa manfaat kepada pengguna.

Beliau berkata, dasar yang dilaksanakan seperti dasar Bank Digital, Kenali Pelanggan Anda Melalui Platform Digital (e-KYC) dan Sandbox Pengawal Seliaan serta dasar yang menyokong penghijrahan kepada e-pembayaran adalah bertujuan untuk meluaskan lagi rangkuman kewangan bagi meningkatkan kesejahteraan kewangan individu dan perniagaan serta menyokong pertumbuhan yang lestari.

"Baru-baru ini, pada 4 Januari 2022, BNM juga telah menerbitkan kertas perbincangan mengenai rangka kerja pelesenan untuk Penanggung Insurans dan Pengendali Takaful Digital yang bertujuan untuk menyumbang ke arah pertumbuhan Insurtech yang lebih rancak dan inklusif.

"Selain itu, dasar sedia ada dikemas kini agar kekal relevan mengikut perkembangan semasa. Ini dapat dilihat melalui dasar berkaitan penggunaan teknologi dalam sektor kewangan contohnya Pengurusan Risiko dalam Teknologi (RMiT) dan Penyumberan Luar dan dasar berhubung aset digital yang dibangunkan bersama dengan Suruhanjaya Sekuriti Malaysia," katanya.

Selain itu, Abdul Rasheed turut mengiktiraf peranan besar yang dimainkan oleh agensi seperti Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) yang menjalankan program Fintech Booster, Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) yang mengendalikan Sandbox Teknologi dan Inovasi Nasional (NTIS), Malaysia Venture Capital Management Bhd (MAVCAP) dan Cradle Fund yang menyediakan dana kewangan serta peranan persatuan industri seperti Fintech Association of Malaysia (FAOM) yang menyumbang kepada pertumbuhan fintech di negara ini.

Di samping itu, beliau berkata, institusi dan agensi kewangan di Malaysia juga telah mengambil dasar terbuka dalam menyokong pertumbuhan dan perkembangan sektor fintech yang memberi impak positif kepada ekonomi dan pengguna.

Hal itu, katanya, termasuk pembabitan dalam pelbagai inisiatif bagi meningkatkan tahap celik kewangan dan digital dalam kalangan pengguna dan masyarakat.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo