NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kerajaan disaran beri subsidi kit ujian COVID-19 kepada pelajar


KUALA LUMPUR: Kerajaan disaran memberi subsidi bekalan kit ujian saringan COVID-19 kepada pelajar di asrama dan institusi pengajian tinggi (IPT) supaya pengesanan awal jangkitan boleh dilakukan bagi mengelak tercetus kluster baharu.

Ketua Pusat Kesihatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Mohd Azman Abas, berkata melalui pemberian subsidi itu, pelajar akan hanya perlu membayar harga minimum untuk mendapatkan kit terbabit.

Katanya, ia penting bagi membantu pengesanan awal jangkitan supaya pihak pentadbiran dapat mengambil langkah mengelakkan lebih ramai komuniti dalam asrama atau IPT berkenaan daripada terdedah.

Ketika ini, beliau berkata, ada pelajar dikatakan mempunyai gejala awal tetapi tidak melakukan ujian saringan segera atas alasan tidak sempat atau tiada wang untuk membeli kit terbabit.

"Apabila kita kesan pada hari ketiga bergejala, kontak rapat juga sudah ramai.

"Justeru sekiranya kerajaan membekalkan kit ujian COVID-19 yang dijual pada harga subsidi sekitar RM3, maka ia memudahkan pelajar untuk membuat saringan.

"Kita tidak boleh memberi kit ujian itu secara percuma bagi mengelakkan mereka mengambil ringan soal prosedur operasi standard (SOP) kerana berasa boleh melakukan saringan pada bila-bila masa," katanya kepada BH, di sini.

Kira-kira 70 peratus atau 62 daripada 89 kluster baharu yang dikesan Kementerian Kesihatan (KKM) membabitkan institusi pendidikan, bagi tempoh seminggu bermula 15 Januari hingga kelmarin.

Dalam pada itu, Dr Mohd Azman berkata, pelbagai faktor menyumbang kepada penularan COVID-19 di institusi pendidikan, namun yang paling signifikan ialah pelajar yang menetap di kolej IPT bebas keluar masuk.

Beliau berkata, risiko berlakunya rantaian jangkitan adalah tinggi apabila pelajar terbabit pulang ke kampung halaman pada hujung minggu atau keluar melakukan aktiviti.

"Ada kes yang kita rekodkan datang daripada ahli keluarga. Apabila pelajar itu pulang ke kampung, dia mendapat jangkitan daripada ayah sebelum mendedahkan kepada rakan lain di kolej," katanya.

Sementara itu, Ketua Pusat Pengajian Kesihatan Persekitaran dan Keselamatan, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Megat Azman Megat Mokhtar, berkata pihaknya melihat jangkitan lebih mudah tersebar dalam kalangan komuniti terbabit berikutan mereka 'hidup dalam keluarga besar' di asrama dan kolej.

Beliau berkata, apabila pelajar berasa seperti bersama keluarga sendiri ketika berada di asrama dan kolej, ia mendorong pelanggaran SOP antara mereka sehingga menyebabkan jangkitan mudah tersebar.

"Jika di asrama sekolah, mereka berasakan tiada penularan kerana tidak ada pergerakan keluar dalam kalangan pelajar. Namun guru dan kakitangan sekolah masih melakukan pergerakan ke luar, menyebabkan risiko itu sentiasa ada.

"Begitu juga dengan pelajar di sekolah harian. Pihak sekolah tidak boleh mengawal selepas tamat waktu sekolah yang mana penyebaran boleh berlaku ketika pelajar sedang menunggu diambil ibu bapa atau pulang menaiki pengangkutan awam.

"Justeru, pematuhan SOP adalah amat penting dan perlu sentiasa diingatkan dalam kalangan pelajar sekolah dan universiti," katanya.

Sumber | Amanz




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo