NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Dagang hidupan liar melalui media sosial, sukarkan penguatkuasaan


KOTA KINABALU: Jabatan Hidupan Liar Sabah (JHLS) mengesan kegiatan pemerdagangan hidupan liar di negeri ini beralih menggunakan teknologi digital seperti aplikasi sembang WhatsApp dan Telegram, selain Facebook yang menyebabkan agensi itu sukar mengumpul bukti dalam usaha memerangi jenayah berkenaan.

Pengarahnya, Augustine Tuuga, berkata ia sekali gus menimbulkan cabaran baharu dalam usaha menangani kegiatan pemburuan dan pembunuhan haram serta perdagangan hidupan liar dilindungi di Sabah kerana ia menyukarkan jabatan berkenaan mengumpul bukti untuk mendakwa pelaku atau dalang jenayah membabitkan hidupan liar.

"Kebelakangan ini, perdagangan haram hidupan liar sering dilakukan secara maya atau melalui media sosial seperti Facebook, WhatsApp, Telegram dan lain-lain lagi. Ini menimbulkan cabaran besar kepada penguat kuasa, khususnya dalam mengumpul bukti digital dan sebab itu kes tangkapan membabitkan jualan secara dalam talian masih sedikit.

"Seringkali juga tangkapan hanya dapat dibuat apabila benar-benar dapat dipastikan hidupan liar dilindungi berada dalam milikan suspek," katanya dalam kenyataan bersama JHLS dan Pusat Lapangan Danau Girang (DGFC) mengenai isu perdagangan hidupan liar Sabah, di sini, hari ini.

Katanya, undang-undang sedia ada yang tidak meletakkan perbuatan mempamer hidupan liar dilindungi atau yang dilindungi sepenuhnya dalam media sosial sebagai satu kesalahan turut menambahkan lagi kesukaran kepada penguat kuasa untuk mengambil tindakan.

Kegiatan pemburuan, pembunuhan dan perdagangan haram hidupan liar adalah ancaman yang dihadapi kebanyakan spesies terancam di Sabah dan menjadi agenda penguat kuasa barisan hadapan hidupan liar sejak beberapa tahun kebelakangan.

Sementara itu, DGFC sebagai badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif dalam aktiviti pemuliharaan hidupan liar di Sabah tampil membantu JHLS memerangi jenayah hidupan liar melalui beberapa program latihan selain pembentukan Unit Risikan dan Unit Forensik Hidupan Liar di JHLS.

Melalui kerjasama itu, JHLS dan DGFC serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil inisiatif menganjurkan kursus dibiayai Biro Hal Ehwal Penguatkuasaan Undang-Undang dan Narkotik Antarabangsa, Jabatan Negara Amerika Syarikat (INL) bagi menangani media sosial dan merampas peralatan digital serta bukti berkaitan.

Kursus dua hari itu disertai Kumpulan Kerja Jenayah Hidupan Liar Antara Agensi yang merangkumi wakil pelbagai jabatan negeri, agensi penguat kuasa dan NGO. Ia kursus ke-14 yang dijayakan melalui projek 'Meningkatkan Penguatkuasaan dan Keupayaan Forensik bagi Menghalang Penyeludupan Hidupan Liar di Sabah' yang diselaraskan JHLS dan DGFC.

Penyelaras DGFC bagi Projek INL, Dr Milena Salgado Lynn, berkata pihaknya menghargai pembabitan SKMM yang bersetuju membentuk kerjasama rapat dengan JHLS dalam menyediakan latihan untuk Kumpulan Kerja Antara Agensi yang juga diwujudkan pada program berkenaan.

Katanya, hampir RM8 juta disalurkan INL untuk program penguatkuasaan dan forensik hidupan liar di Sabah yang dilaksanakan sejak Oktober 2019.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo