NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pematuhan kontrak tapak pelupusan diteliti


GEORGETOWN: Konsesi syarikat pengurusan tapak pelupusan sampah di Pulau Burung yang diberikan pada September 2012 secara tender terbuka, mungkin ditamatkan jika wujud pelanggaran kontrak.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran di tapak pelupusan itu pada Rabu lalu ketika mesyuarat EXCO semalam, antaranya daripada Jabatan Kerajaan Tempatan.

Bagaimanapun, katanya, kerajaan negeri masih memerlukan laporan berhubung pengurusan tapak pelupusan sampah berkenaan.

"Ini kerana daripada apa yang dibentangkan, kami percaya terdapat kelemahan dari segi pelaksanaan operasi.

"EXCO kerajaan negeri sudah mengarahkan Bahagian Kerajaan Tempatan (BKT) serta Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) untuk meneliti langkah yang boleh dilaksanakan jika wujud pelanggaran kontrak konsesi," katanya, hari ini.

Konsesi pengurusan tapak pelupusan itu dianugerahkan kepada syarikat berkenaan selepas melalui penilaian tender terbuka pada 2012 untuk tempoh 20 tahun.

Antara skop dalam perjanjian konsesi itu adalah syarikat berkenaan perlu menguruskan operasi Fasa 1 dan 2 tapak pelupusan itu yang dibuka sejak 1980-an, serta menyiapkan Fasa 3 supaya ia boleh menerima sisa apabila Fasa 1 dan 2 ditutup.

Ditanya mengenai penggunaan insinerator bagi menggantikan tapak pelupusan, Kon Yeow berkata, kerajaan negeri sedia untuk mempertimbangkan perkara itu.

"Namun, jika pihak syarikat memiliki alternatif lain menggunakan teknologi berbeza, mereka boleh mengusulkannya kepada kerajaan negeri untuk dipertimbangkan.

"Berdasarkan trend semasa, kerajaan negeri sedang meneliti teknologi dan kaedah lain untuk melupuskan sisa," katanya.

Sebelum ini, media melaporkan lebih empat daripada 16 hektar tapak pelupusan itu terbakar Rabu lalu yang menyebabkan pencemaran udara yang memberi kesan pada Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru, hingga memaksa kira-kira 400 penduduk di kedua-dua kawasan itu dipindahkan.

Selain itu, sejumlah 10 sekolah yang terletak dalam jarak 10 kilometer dari tapak pelupusan terbabit diarahkan tutup selama tiga hari sehingga esok.

Susulan itu, tapak pelupusan Pulau Burung diisytiharkan sebagai kawasan bencana Tahap 1 selarasan arahan nombor 20 Majlis Keselamatan Negara (MKN).-BH



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo