NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Pemansuhan subjek pendidikan islam di sekolah, Guru subjek lontarkan respon terhadap realiti


Baru-baru ini kita digemparkan suara tidak enak mencadangkan subjek Pendidikan Islam dimansuhkan daripada sistem pendidikan aliran kebangsaan. Cadangan sinis ini juga menyatakan biarkan saja sekolah agama rakyat memikul tugas mengajar agama Islam. Diutarakan hanya disebabkan melihat jadual pembelajaran Pendidikan Islam dikatakan banyak masa. 

Sebagai sebuah negara merdeka dan demokrasi menjadi hak kebebasan individu untuk mengemukakan pandangan. Namun dalam konteks ini perlulah lebih releven dan bersifat realistik. Beberapa perkara saya jelaskan tanpa prejudis kerana saya juga adalah seorang ayah dan seorang pendidik yang terlibat secara langsung dalam sistem pendidikan untuk mengimbangi dan mencerahkan isu yang dikritik. Saya kira banyak lagi aspek boleh diketengahkan namun cukup beberapa sahaja, ia pun sudah boleh membentes suara itu. 

Pertama perlulah meneliti semula semula elemen-elemen dalam Falsafah Pendidikan Negara.  Eleman tersebut adalah Jasmani, Emosi, Rohani, Intelek dan Sosial dengan akronim JERIS. Menafikan pembelajaran subjek Pendidikan Islam samalah makna cadangan itu membantah dan mengenepikan salah satu elemen penting Falsafah Pendidikan Negara yang menjadi teras dalam sistem pendidikan negara kita selama ini iaitu Rohani. Rohani ini juga termasuklah pembelajaran keagamaan dan akhlak ajaran selain Islam. 

Kedua andai kata Pendidikan Islam dihapuskan dalam sistem pendidikan aliran kebangsaan, maka sudah pasti Panitia Pendidikan Islam tidak lagi ada relevensinya di sekolah.  Ia juga mestilah dihapuskan sekali. Persoalannya apabila panitia ini dihapuskan, siapakan badan yang boleh melaksanakan program kerohanian sekolah?

Badan yang mana lagi mampu membentuk akhlak murid-murid di sekolah melalui program kerohanian seperti ceramah agama, tazkirah, kem ibadah, solat hajat, zikir dan lain-lain? Persoalan ini sudah pasti sukar dijawab  walaupun berdegang dengan cadangan 'ganjil' dan populis itu. Bilangan masa untuk pembelajaran Islam pun bukanlah terlalu padat kerana pembahagian masa subjek lain dengan sama rata, itu pun pecahan tajuk belum dibuat.

Bagi saya tidak sekadar tidak banyak bahkan perlu lagi penambahan masa dengan keperluan penambahan murid dan perkembangan zaman moden sekarang. Dengan syarat tenaga pendidik agama perlulah ditambah dari semasa ke semasa. Pendidikan Islam diperingkat pra sekolah juga telah pun diwujudkan, menunjukkan negara sangat prihatin dan keperluan yang semakin mendesak. 

Ketiga cadangan menyatakan juga silibus pendidikan agama hanya perlu di sekolah agama sahaja. Untuk pengetahuan semua, tidak semua ibu bapa mampu menghantar anak mereka untuk dua aliran berasingan, kebangsaan dan agama dengan mengambil kira kos pembiayaan dwipendidikan, kos pengangkutan dan kos rencam yang lain. Apatah lagi bagi masyarakat yang tinggal di pekan dan pedalaman yang banyak seperti di Sabah dan Sarawak. 

Mereka mengharapkan sekolah kebangsaanlah nadi segala ilmu dan pendidikan termasuklah pendidikan agama.  Sebagai seorang guru yang terlibat dalam dunia motivasi, saya amat memahami kondisi ini. 

Kita  wajar menyedari bahawa rakyat Malaysia masih ramai yang hidup di tahap miskin dan tidak kurang berada di tahap miskin tegar, mereka tidak mampu melaksanakan pelaburan dalam pendidikan melebihi kemampuan mereka sehingga kerajaan melaksanakan insentif BAP,  Bantuan Awal Pendidikan dengan kadar tambahan RM50, menjadi RM150. 

Keempat negara ini negara yang berdaulat, ada undang-undang dan perlembagaan. Perlembagaan itu termasuklah Islam sebagai agama rasmi. Amatlah pelik apabila negara agama rasminya Islam namun dalam aliran utama sistem pendidikan negara, menolak sistem pendidikan Islam di dalam masa yang zama negara juga tidak pernah menafikan sistem pendidikan agama lain. 

Di saat negara - negara barat yang lain ada yang mempelajari Islam dan budayanya dalam arus utama pendidikan mereka, kita umat Islam pula merosakkan pendirian sendiri membantah subjek dunia dan akhirat ini.  Sepatutnya sebagai umat Islam, kita membantu bersama memperkasa, bukan merobohkan. Sarana saya lebih manis andai kita mengkaji dulu isu sebelum membantah. 

Abu Maryam Safiyah
Guru Pendidikan Islam 
Penceramah Agama & Motivasi
19.01.2022/Sabah



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo