NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

PBB dakwa Taliban bunuh lebih 100 individu di Afghanistan


NEW YORK: Laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) mendedahkan Taliban dan sekutunya membunuh lebih 100 bekas anggota kerajaan Afghanistan, kakitangan keselamatan dan individu pernah bekerja dengan tentera antarabangsa.

Berdasarkan salinan laporan yang dilihat AFP, berlaku pelanggaran teruk hak asasi manusia yang diamalkan pemerintah Taliban di Afghanistan, termasuk pembunuhan politik, hak asasi wanita dan hak untuk memprotes dikekang.


Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres, dalam laporan itu berkata walaupun Taliban mengumumkan pengampunan am, ia tidak dipatuhi.


"Bekas anggota kerajaan, pasukan keselamatan dan mereka yang bekerja dengan pasukan tentera antarabangsa, UNAMA, terus menerima dakwaan pelanggaran hak asasi.

"Antara lain termasuk kes pembunuhan balas dendam dan kehilangan serta pelanggaran lain terhadap hak individu berkenaan.

"Keseluruhan struktur sosial dan sistem ekonomi Afghanistan ditutup," katanya dalam laporan berkenaan.


Sejak Taliban mengambilalih Kabul pada 15 Ogos lalu, menurut laporan sama, misi PBB di Afghanistan menerima lebih 100 laporan berhubung dakwaan berlaku pembunuhan sedemikian, yang dianggap boleh dipercayai.

Lebih dua pertiga yang terbunuh adalah 'pembunuhan di luar bidang kehakiman yang dilakukan oleh pihak berkuasa de facto atau sekutu mereka'.

Tambah pula, kata laporan itu, pejuang hak asasi dan petugas media terus diserang, digertak, diugut, ditahan sewenang-wenangnya, diberi layanan buruk, malah dibunuh.

Laporan sama juga memperincikan sekatan dilakukan kerajaan terhadap tunjuk perasaan secara aman serta kekurangan akses bagi wanita dan gadis untuk bekerja atau terbabit dalam sektor pendidikan.

Afghanistan dikatakan bergelumang dalam 'bencana' kemanusiaan, lebih teruk selepas Taliban menguasai Afghanistan sehingga Barat bertindak membekukan bantuan antarabangsa dan akses kepada aset di luar negara bernilai berbilion dolar.

Negara itu juga bergantung sepenuhnya kepada bantuan asing di bawah kerajaan sebelumnya yang disokong Amerika Syarikat (AS) tetapi kini peluang pekerjaan semakin kurang termasuk penjawat awam tidak dibayar gaji selama beberapa bulan.

Setakat ini, tiada satu pun negara yang mengiktiraf kerajaan Taliban sebagai entiti yang sah.

Dengan kemiskinan semakin meruncing dan kemarau mengakibatkan kemusnahan di banyak kawasan pertanian, PBB memberi amaran bahawa separuh daripada 38 juta penduduk di negara itu bakal menghadapi kekurangan makanan.

Majlis Keselamatan PBB (UNSC) pada bulan lalu, sebulat suara menggunapakai resolusi AS untuk membenarkan penyaluran beberapa bantuan kepada penduduk Afghanistan yang terdesak tanpa melanggar sekatan antarabangsa.

Pada masa sama, terdapat gesaan dalam kalangan kumpulan hak asasi manusia dan pertubuhan bantuan supaya negara Barat memperuntukkan lebih banyak dana, terutama untuk kegunaan ketika musim sejuk. - AFP

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo