NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Malaysia mampu bebas tembakau lebih awal

Negara dijangka berupaya menuju ke arah bebas tembakau lebih cepat iaitu seawal tahun 2030 sekiranya dapat melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas tahun 2005 pada waktu terdekat. 

KUALA LUMPUR: Negara dijangka berupaya menuju ke arah bebas tembakau lebih cepat iaitu seawal tahun 2030 sekiranya dapat melaksanakan undang-undang melarang penjualan tembakau dan produk rokok lain kepada sesiapa yang dilahirkan selepas tahun 2005 pada waktu terdekat.

Pengerusi Jawatankuasa Sukan, Kebudayaan dan Gaya Hidup Sihat Majlis Belia Malaysia (MBM), Hasanul Amir Abdul Halim, berkata komitmen disuarakan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin ke arah undang-undang terbabit adalah langkah baik menuju kepada negara sihat.

"Kita amat menyokong kerana dalam menuju ke arah negara bebas tembakau ia perlu dimulakan dengan generasi muda. Jika dilaksanakan undang-undang ini kelak, kita jangka negara mampu mencapai bebas tembakau dalam tempoh lapan tahun dengan generasi dilahirkan selepas 2005 akan menjadi golongan pertama membantu mencapai ke arah itu," katanya kepada BH, di sini hari ini. 

Khairy dalam ucapan intervensi pada Mesyuarat Lembaga Eksekutif WHO Sesi ke-150 di Geneva, Switzerland memberi komitmen untuk melaksanakan undang-undang terbabit pada tahun ini dalam usaha membawa kepada generasi tidak merokok. 

Pada 2017 lalu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan Malaysia untuk mengurangkan jumlah perokok kepada kurang lima peratus pada 2045, sejajar dengan sasaran menjadikan negara bebas asap rokok. 


Pada masa sama, Hasanul Amir, berkata dalam menuju ke arah maju, Malaysia boleh meneroka hasil cukai baharu negara melalui teknologi digital baharu yang boleh menyumbang kepada Keluaran Dalam Negara Kasar(KDNK) berbanding rokok. 

Sementara itu, Pakar Perubatan Kesihatan Awam dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Halimatus Sakdiah Minhat, berkata dengan pelaksanaan undang-undang itu kelak, negara berupaya menjimatkan kos kesihatan dalam jangka masa panjang. 

Beliau berkata, banyak penyakit kronik berpunca daripada amalan merokok dan dalam menuju negara tua pada 2030, amat penting untuk melahirkan lebih ramai rakyat sihat tanpa merokok melalui undang-undang ini.

Mengulas lanjut, katanya isu membabitkan rokok adalah paling sukar ditangani berikutan pelaksanaan undang-undang selalunya tidak selari dengan usaha dilakukan KKM. 

Namun katanya pelaksanaan undang-undang seperti itu perlu dilakukan bagi memastikan Malaysia mampu menghasilkan warga yang lebih tua lebih sihat selaras bagi menuju negara tua menjelang 2030. 

"Pelaksanaan dasar berkaitan rokok juga selalu menjadi isu, ...hasrat itu amat baik namun kerajaan harus memastikan ia tidak menyebabkan peningkatan pasaran gelap bagi penjualan rokok yang akhirnya mencetus kepada masalah lain," katanya. 

Bagi Timbalan Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA), Mohd Yusof Abdul Rahman, pelaksanaan undang-undang itu nanti berupaya mendidik pengguna khususnya golongan muda untuk memanfaatkan wang bagi tujuan lebih bermanfaat berbanding membeli rokok. 

Secara anggarannya, perokok membelanjakan kira-kira RM450 sebulan untuk membeli rokok di mana wang itu sepatutnya boleh dimanfaatkan kepada keperluan lebih mendedak seperti memberi barangan keperluan rumah. 

"Pengguna juga mungkin boleh memanfaatkan wang itu bagi tujuan simpanan dan pelaburan yang memberi lebih banyak faedah berbanding membeli rokok," katanya.

Sumber | BH Online




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo