NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kluster tempat kerja, Kluster baharu catat peningkatan - KP Kesihatan




PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesan peningkatan sebanyak 33.3 peratus kluster baharu jangkitan COVID-19 di negara ini pada Minggu Epidemiologi (ME) ke-52, berbanding ME ke-51.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata peningkatan ketara itu bagi kategori kluster tempat kerja dan kluster import, manakala kategori kluster lain menunjukkan penurunan kecuali kluster komuniti dan pusat tahanan yang kekal statik pada ME ke-52.

"Peningkatan kluster tempat kerja ini menunjukkan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) masih lagi di tahap yang rendah.

"Hal ini tidak seharusnya berlaku memandangkan masyarakat di negara ini sepatutnya sudah cakna kepentingan SOP dalam memutuskan rantaian COVID-19," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Berikutan itu, beliau berkata, KKM mengingatkan masyarakat pematuhan kepada SOP masih perlu diamalkan walaupun populasi Malaysia sudah mencapai 78.4 peratus lengkap divaksinasi supaya penularan COVID-19 dapat dikurangkan seiring dengan pembukaan semua sektor ekonomi dan peningkatan aktiviti sosial.

Katanya, KKM turut melihat penurunan 3.6 peratus bagi kluster aktif, berbanding ME ke-51.

"Selain itu, sebanyak 40 kluster sudah diisytiharkan tamat

pada ME ke-52 dengan peratusan kluster tamat ini menurun 24.5 peratus berbanding ME ke-51.

"Pada ME ke-52, sebanyak 18 kluster tempat kerja dikesan, diikuti lima kluster komuniti; empat kluster import; dua kluster pusat pendidikan dan masing-masing satu kluster kumpulan berisiko tinggi, kluster aktiviti keagamaan dan kluster pusat tahanan," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, pengembara dan individu yang mendapat kebenaran menjalani kuarantin di rumah diingatkan tidak menerima kunjungan daripada ahli keluarga, sahabat dan jiran ketika dalam tempoh kuarantin.

Katanya, ia bagi mengelakkan penularan jangkitan COVID-19 kepada pelawat dan seterusnya kepada komuniti.

Mengenai penularan varian Omicron, Dr Noor Hisham berkata pihaknya sudah melaksanakan beberapa langkah bagi mengelakkan penularan virus itu dalam komuniti, termasuk antara langkah yang berkuatkuasa mulai hari ini.

"Seperti dilaporkan sebelum ini, pada ME ke-51 dan ke-52, kes positif COVID-19 dalam kalangan pengembara yang tiba dari Arab Saudi mencatatkan bilangan tertinggi iaitu 1,161 kes, berbanding Singapura (913 kes), Indonesia (8 kes) dan United

Kingdom (49 kes).

"Jemaah umrah yang baru tiba di negara ini perlu menjalani kuarantin di stesen kuarantin yang ditetapkan oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

"Bagi pengembara dari negara lain, mereka boleh membuat permohonan untuk menjalani kuarantin di rumah melalui aplikasi Home Quarantine Application (HQA) iaitu https://hso.moh.gov.my/outbreak-portal-hqa/index.

"Selepas penilaian risiko dilakukan oleh pasukan Perintah Pengawasan dan Pemerhatian (HSO) dan HQA diluluskan, pengembara boleh menjalani kuarantin di rumah," katanya.


--BH




............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo