NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Kenapa rakyat Kazakhstan sedang mengamuk?

Takdir menentukan Kesatuan Soviet jatuh pada 26 Disember 1991. Macam-macam Mikhail Gorbachev buat untuk menangguhkan takdir ini, gagal angkara najis pentadbiran beliau sendiri yang menjadi sarang kala jengking (ahli politik).

Kejatuhan Soviet bukan sama sekali suatu peristiwa tukar kerajaan. Pada hari tersebut, sebuah negara mati – dan 15 buah negara baru dilahirkan. Salah satu negara tersebut adalah Kazakhstan, yang dipimpin seorang penguasa bernama Nursultan Nazarbayev.

Walaupun kapasitinya sebagai presiden, Nursultan ini sebenarnya seorang sultan yang tiada nur demokrasi. Beliau menunggang arus demokrasi hampir 30 tahun (1990-2019).

Maksudnya, bayi yang lahir semasa Kazakhstan keluar Soviet sudah menjadi bapa orang sekarang ini (kecuali segelintir dalam kalangan pembaca yang kekal bujang tidak laku sampai hari ini).

Dalam lembah politik, seorang pemimpin tidak boleh berkuasa terlalu lama. Negara akan masuk dalam lembah pembodohan kalau simpan pemimpin sama.

Bukan kerana pemimpin itu sendiri yang bodoh. Sebenarnya, kerana pemimpin itu asyik cantas-mencantas generasi pelapis sampai negara perlu masa untuk dapatkan pelapis baru.

Ada satu negara yang mengalami barah begini kronik. Pemimpin negara tersebut berkuasa lebih 20 tahun sampai penggantinya kalau tidak bangang, tua bangka namanya… cuba tengok apa jadi pada Soviet selepas zaman Joseph Stalin.

Kena pilih antara bangang (Leonid Brezhnev) dan tua (Yuri Andropov/Konstantin Chernenko).

Ini memang matematik dalam politik, terutamanya Kazakhstan yang mempunyai DNA kepimpinan sama seperti Soviet.

Begitu lama Nazarbayev bertakhta, membangunkan negara dengan sistem kapitalisme berkroni sampai 55 peratus daripada harta negara dibolot 152 hartawan (Kantchev, 2022).

Sistem mengutamakan kroni dan keluarga mendaulatkan bencana korupsi, yang menyusahkan hidup rakyat marhaen.

Dan pada tahun 2019, akhirnya Nazarbayev berundur daripada takhta presiden… memberi laluan kepada seorang boneka setia bernama Kassym-Jomart Tokayev.

Betapa setianya Tokayev ini sampai ibu negara Astana ditukar nama menjadi Nur-Sultan. Ingat balik fenomena “bangang dan bangka” yang membelenggu Soviet.

Untuk memaniskan imej, pihak pentadbiran menggunakan Photoshop supaya Tokayev nampak muda (Emerson, 2019).

Alih-alih tengok Nazarbayev sebenarnya bukan ke mana-mana pun. Beliau menjadi mirip Lee Kuan Yew demikian hari. Walaupun bukan penguasa, tetapi masih ada kuasa iaitu sebagai Pengerusi Majlis Keselamatan Negara.
 
Jadi legitimasi Tokayev sebagai penguasa tertinggi jelas sekali dipersoal. Ramai bising yang peralihan kuasa ini bagaikan main musical chair saja.

Dan pada 10 Mei 2018, rakyat mula bangkit menentang kerajaan dengan beberapa tuntutan seperti 1) peletakan jawatan Nazarbayev (daripada tampuk MKN) dan 2) peletakan jawatan Tokayev… dan 3) tukar negara menjadi republik berparlimen.

Api Dipadam Tetapi Abu Menyala

Pandemik COVID-19 seperti yang boleh dibayangkan telah menjejaskan ekonomi Kazakhstan. Sudahlah susah, kerajaan Tokayev pula tidak memberi rangsangan ekonomi yang mencukupi. Rakyat terbeban dengan kehilangan kerja.

Yang ada kerja pula gaji tidak naik. Tetapi harga barangan jangan cakaplah – naik macam gajah hidung pendek. Ekonomi Kazakhstan bergantung pada gas petroliam cecair (LPG). Baru-baru ini harga LPG naik dua kali ganda, membuatkan rakyat yang jatuh ditimpa tangga terhempap bumbung.

Sama macam bantahan 2018, harga gas kembali menjadi percikan api pada minyak yang lama mendidih. Akhirnya rakyat kembali ke jalanan menuntut bela daripada kerajaan yang bangang dan bangka.

Rakyat turun membantah. Tokayev pula dengan bangga keluar perintah rakyat ditembak dengan peluru hidup kerana menjadi perompak dan pengganas (Walker, 2022).

Nampaknya kerajaan Kazakhstan sudah lupa diri. Sebelum merdeka daripada Soviet dulu, ramai dalam kalangan anak muda Kazakh turun padang dan membantah di bandar Almaty.

Mereka membantah kerajaan Soviet secara habis-habisan, sampai 200 orang terkorban. Angka kematian ini menjadi minyak yang memanaskan enjin revolusi… akhirnya menganugerahkan kuasa pada Nazarbayev.

Sekarang kerajaan pelapis Nazarbayev mengambil alih tempat Soviet dan ingin menggunakan kekerasan untuk tutup mulut rakyat.

Sehingga 9 Januari 2022, 40 orang sudah terbĻ…nuh. 4,400 orang sudah diberkas. Maka rumusannya jelas: bangang dan bangka. Itulah alamatnya jika pemimpin berkuasa terlalu lama. Tiba-tiba jadi amnesia lupa dulu mereka buat benda sama.

RUJUKAN:

Emerson, S. (2019, April 5). Le prƩsident du Kazakhstan devrait sans doute se calmer sur le Photoshop. The Vice.

Kantchev, G. (2022, Januari 7). Kazakhstan’s Elite Got Richer on Natural Resources. Then came the Unrest. Wall Street Journal.

Walker, S. (2022, Januari 7). Kazakhstan president says he gave order to ‘open fire with lethal force’. The Guardian.


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo