NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

Di mana PKR dalam landskap politik tanah air?




PKR harus gusar apabila kalah kesemua kerusi yang ditandingi dalam Pilihan Raya Negeri

Melaka dan Sarawak di penghujung tahun 2021. Senario ini mencungkil persoalan selanjutnya, di manakah kedudukan PKR dalam landskap politik tanahair pada masa akan datang?

Bukan untuk nostalgia, tetapi imbasan sejarah berikut menjelaskan sedikit sebanyak kebuntuan PKR sekarang, juga ketidakpuasan rakyat terhadapnya.

Kegemilangan era Pakatan Rakyat

PKR ditubuhkan pada 4 April 1999, dilambung gelombang Reformasi lantaran pemecatan Anwar Ibrahim dari jawatan Timbalan Perdana Menteri. Mata lebam Anwar dijadikan ikon untuk menggembleng kuasa rakyat.

Meminjam singkatan KKN daripada Indonesia ketika itu, pembangkang menggegarkan Barisan Nasional dengan isu korupsi, kronisme dan nepotisme dalam PRU10 pada tahun 1999.

Anwar kembali untuk menyusun semula blok pembangkang sebelum PRU12 pada 8 Mac 2008. Atas robohan Barisan Alternatif, Anwar dirikan Pakatan Rakyat. Tahap seni Anwar untuk memungkinkan kemustahilan berada pada kemuncak apabila berjaya menggandingkan dua parti yang bertentangan ideologinya, iaitu PAS dengan DAP.

Ramai yang percaya bahawa seandainya kedua-dua parti pembangkang ini mengambil jalur politik yang lebih sederhana, gandingan ini mampu menjadi alternatif untuk menggantikan BN satu hari nanti.

Bukan itu sahaja, Anwar menyusun strategi untuk membina momentum menjelang pilihan raya umum. Lingam Tape (atau lebih diingati dengan correct, correct, correct…), skandal PKFZ (Port Klang Free Zone) didedahkan sebelum PRU12, dan skandal NFC (National Feedlot Corporation, atau lebih dikenali dengan Lembu Kondo) dan sebagainya, sebelum PRU13 pada 5 Mei 2013.

Gerakan massa dikerah, misalnya himpunan Bersih, anti-Lynas, Himpunan Kebangkitan Rakyat dan sebagainya. Anwar ketika itu ditampilkan sebagai harapan untuk membebaskan Malaysia daripada pemerintahan UMNO-BN.

Struktur pimpinan yang tempang

Apa yang terpampang di depan mata, langkah PRU15 semakin dekat, sama ada dalam tempoh 6 bulan, atau paling lewat, setahun lebih dari sekarang.

Apakah skandal penyelewengan atau salahguna kuasa kerajaan yang didedahkan, satu demi satu, untuk membina momentum masyarakat ke arah menuntut perubahan? Apakah kita merasai kehangatan suasana politik, dan tergerak hati untuk memangkah kertas undi, meskipun berdepan dengan risiko dijangkiti Covid-19, selain membayar harga tambang pengangkutan yang melambung?

Hampir tiada. Malah ramai tertanya-tanya, benarkah PKR-Pakatan Harapan mahu menghadapi PRU15 dengan apa yang seadanya sekarang?

Cuba kita meneliti struktur pimpinan PKR sedia ada. Jawatan timbalan presiden dikosongkan, sementara beberapa orang naib presiden pula tidak pasti status keaktifan mereka. Nurul Izzah pernah meletakkan jawatan selaku naib presiden, dan Rafizi Ramli pula pernah mengumumkan keputusan meninggalkan dunia politik, tetapi nama kedua-duanya kekal terpahat di laman rasmi PKR sebagai naib presiden.

Apa yang pasti, mereka tidak lagi berada di barisan paling depan, atau terserlah seperti dahulu.

Ketempangan struktur pimpinan

PKR telah berlanjutan sejak “Langkah Sheraton”, yang berlaku hampir genap dua tahun.

Rakyat gagal membayangkan, andainya PKR menjadi kerajaan persekutuan, siapakah calon menterinya?

Lebih-lebih lagi, PKR kelihatan masih belum menyelesaikan isu retakan dalam parti secara tuntas. Sebagaimana yang sedia maklum, sekumpulan pemimpin yang dilihat dekat dengan bekas timbalan presiden, memilih untuk kekal bersama PKR sungguhpun Azmin Ali dipecat.

Apakah mereka diterima? Adakah perdamaian telah dicapai? Adakah mereka akan dinamakan sebagai calon dalam PRU15, seandainya memenuhi kelayakan?

Kesemuanya kekal kabur, sedangkan PKR hanya perlu membuat satu keputusan – sama ada mereka dianggap sisa pengkhianat yang harus disingkirkan dari PKR, ataupun kisah silam dipadamkan dan mereka diberi tempat dalam parti untuk meneruskan perjuangan politik mereka.

Dari perspektif sebagai pengamat, semakin awal kata putus dicapai, semakin adil untuk kedua-dua pihak – sama ada melanjutkan perjuangan bersama, atau memulakan perjuangan baru masing-masing.

Bayangkan, jikalau keputusan ini diheret sehingga ambang hari penamaan calon, dan dipancung nama penyandang dari senarai calon pada saat-saat akhir, bukankah ia bakal menimbulkan ketidakpuasan penyokong akar umbinya, yang boleh jadi mensabotaj kempen parti?

Pada masa yang sama, kedengaran juga cadangan “khemah besar” dari masa ke masa. Ia mencungkil keraguan orang ramai, apakah “khemah besar” yang dimaksudkan? Jikalau rakan seperjuangan berdekad-berdekad dalam parti pun gagal dirangkumi, hanya kerana pernah sewaktu dengan Azmin, parti mana pula yang mahu dirangkumkan ke dalam khemah besar?

Bersatu yang sememangnya mengkhianati PH? Atau Pejuang pimpinan Mahathir, yang boleh tahan tebal nasionalisme Melayunya? Tidakkah ironi bunyinya?

Hakikatnya, “perdamaian dalam parti” terlalu enteng untuk Anwar yang pernah menggandingkan DAP dan PAS, misi yang hampir mustahil. Ia menjelaskan mengapa semakin ramai penyokongnya berasa kecewa, seolah-olah Anwar bukan lagi Anwar yang dikenali pada tahun 2008 – Anwar yang digeruni kerana dilihat sebagai ancaman terbesar kepada penguasa; Anwar yang digalaskan dengan harapan, bukannya sasaran untuk dipersendakan dengan sindiran.

Malah, ada yang tertanya-tanya, apa sebenarnya yang sedang dilakukan Anwar sekarang?

Kedudukan PKR

Suka atau tidak, Anwar dan PKR berpisah tiada. Sedekad dahulu, pernah saya secara berseloroh menyindir, “Ramai calon PKR yang menang hanya bergantung kepada gelombang tsunami. Undi Cina disumbangkan oleh DAP, sementara undi Melayu disumbangkan oleh PAS. Calon PKR sekadar bergaya dalam poster yang berlatarbelakangkan sosok Anwar.

Mereka mengharapkan Anwar turun untuk berceramah di konsituensi mereka ketika tempoh kempen, kemudian mereka menumbuk udara bersama Anwar, sambil berteriak Re-for-ma- si!”

Apa yang pasti, formula ini gagal memenangkan mereka kali ini. Malah mereka perlu bersedia untuk “PRU15 tanpa kempen fizikal”. Maknanya, mereka perlu berusaha sendiri untuk menawarkan perkhidmatan, membina kredibiliti, meraih sokongan dan undi daripada konsituensi yang ditandingi. Faktor ini mungkin antara kunci utama kemenangan calon dalam PRU15.

Apapun, ketepikan seketika faktor ini, kerana saya ingin melanjutkan perbincangan tentang kedudukan PKR dalam landskap politik tanahair. PKR benar-benar diuji sejauh mana sokongan Melayu yang diraihnya dalam PRN Melaka, tanpa kehadiran PAS dan Bersatu dalam pakatannya kali ini. Kesudahannya pahit untuk ditelan, namun inilah realitinya.

Untuk saya, gerakan Reformasi yang dicetuskan 23 tahun dahulu tetap menuaikan hasil cuma kita berdepan dengan senario politik baru. Jikalau ditelaah keputusan PRN Melaka, barangkali kita boleh mentafsirkan sebegini: Pengundi Melayu yang tetap menolak kleptokrat, kini mempunyai Bersatu sebagai alternatif; pengundi Muslim yang lebih cenderung kepada nilai agama, akan memilih PAS; dan pengundi yang selesa dengan gaya hidup yang lebih sekular, bakal mengekalkan Umno. Malangnya, PKR bukan pilihan utama Melayu, sama ada pengundi Melayu jemu dengan politicking dalam PKR, ataupun tidak selesa dengan keberadaan DAP dalam gandingan Pakatan Harapan.

Apapun, tiba masa PKR melakukan “soul-searching”-nya, untuk mengenalpasti kedudukannya dalam landskap politik tanah air. Apa yang membezakan antara PKR dengan Umno, PAS, Bersatu, Amanah dan DAP? Misalnya, apa bezanya agenda anti-rasuah antara PKR dengan Bersatu? Apa bezanya jalur dan fahaman agama antara PKR dengan PAS dan Amanah? Apa bezanya pemimpin Cina dalam PKR dengan DAP?

PKR perlu bersedia untuk masa depan, andainya sistem pilihan raya Malaysia dirombak, diperkenalkan sistem perwakilan nisbah, misalnya. Dalam sistem perwakilan nisbah, jikalau parti A meraih 30 peratus undi popular, maka 30 peratus kerusi akan diagihkan kepadanya. Sekali imbas, parti politik tradisi yang memiliki ideologi atau imej yang jelas seperti PAS dan DAP, tidak bimbang dengan kedudukan mereka. Malah, parti kecil seperti PSM dan MUDA, bakal menempah kerusi di dewan perundangan, kerana sokongan pengundinya boleh dikumpulkan dari setiap pelosok negara.

Persoalannya, apakah PKR memiliki ideologi dan imej yang jelas? Adakah PKR memiliki asas sokongan yang solid dan stabil, untuk melayakkan pemimpin mereka ke dewan perundangan? Hakikatnya, bukan sahaja sukar untuk membuktikan kecekapan dirinya sebagai parti pemerintah, malah untuk menjadi pembangkang, saingannya pun semakin sengit.

Satu ketika dahulu Muda, Pejuang, Parti Kuasa Rakyat dan sebagainya mungkin boleh diperlekehkan, tetapi ingat, pada zaman yang tidak menentu ini, PH menduduki tangga ketiga dari segi jumlah undi popularnya di beberapa kawasan dalam PRN Melaka dan Sarawak.

Malang umpama air bah, baik PKR bersedia untuk senario paling buruk.

***LIM HONG SIANG ialah pengarah eksekutif Saudara (penyelidikan sosiobudaya).


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo