'Jemaah umrah mustahil tidak divaksin' - MATTA sangkal dakwaan KJ


KUALA LUMPUR: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) menyangkal kenyataan yang dikeluarkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berkenaan jemaah yang tidak lengkap divaksin dijangkiti Omicron setelah pulang dari mengerjakan ibadah umrah.
Naib Presiden Umrah & Haji MATTA, Mohd Azri Abd Razak berkata perkara ini dianggap mustahil kerana pengendali syarikat umrah telah mematuhi syarat-syarat dan prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan umrah yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan (KKM) dan Kerajaan Saudi.
“Pihak MATTA meminta pihak kementerian menyiasat perkara ini dan tidak menuding jari kepada syarikat pengendali umrah.
“Kenyataan Menteri Kesihatan itu mempunyai implikasi yang serius terhadap sistem visa Kerajaan Saudi sekali gus memburukkan pandangan masyarakat terhadap penggiat industri umrah di Malaysia.
“Kaunter imigresen dan kawalan keselamatan di lapangan terbang merupakan tempat semakan terakhir status vaksinasi bagi setiap pelancong atau jemaah ke luar negara.
“Jadi, mana-mana pihak yang terlibat harus dikenakan tindakan undang-undang di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342),” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Berkaitan isu penangguhan umrah sementara yang diumumkan oleh Khairy Jamaluddin selama satu bulan bermula 8 Januari, Azri berkata kerajaan perlu mempertimbangkan semula langkah tersebut kerana ia memberi kesan negatif kepada agensi pelancongan dan jemaah sendiri.
“Pakej umrah yang terkini perlu dikaji semula kerana akan ada kos tambahan yang perlu ditanggung oleh agensi pelancongan mahupun jemaah pada masa akan datang.
“Sehubungan dengan itu, MATTA menyarankan agar Menteri Kesihatan mempertimbangkan semula pelaksanaan penangguhan umrah.
“Kerajaan harus bertanggungjawab atas kerugian yang bakal ditanggung oleh jemaah yang sedang menunggu giliran untuk menunaikan umrah,” ujarnya lagi.
Pihak MATTA pada masa sama bersedia untuk berjumpa dengan pihak KKM atau pihak berwajib untuk berbincang dan mencari jalan terbaik agar dapat mengurangkan penularan varian Omicron dan memastikan punca pendapatan agensi pelancongan tidak terkesan.
--Astro Awani



............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo