NOTIS:

Terima kasih kepada semua pengundi.......

DAP Johor dakwa Umno yang ‘tergila-gila’ mahu PRN


JOHOR BAHRU : DAP Johor mendakwa Umno mahukan pilihan raya negeri (PRN) itu diadakan untuk dijadikan landasan mencetuskan pilihan raya umum (PRU) secara mengejut.

Setiausaha DAP Johor, Andrew Chan, berkata Umno yang “tergila-gila” mahukan PRN kerana kumpulan utama dipimpin bekas Perdana Menteri Najib Razak dan Presiden Ahmad Zahid Hamidi mahu memenangi PRU bagi membolehkan mereka terlepas daripada hukuman penjara dalam kes rasuah dihadapi.

“Mereka mahukan Johor sebagai landasan untuk mencetuskan pilihan raya umum walaupun bertentangan dengan pendirian Perdana Menteri Umno sendiri, Ismail Sabri Yaakob.

“Kumpulan Umno yang dominan ini tidak peduli sama ada nyawa rakyat terancam atau tidak jika pilihan raya diadakan semasa pandemik.

“Pemimpin Umno juga sanggup mengheret rakyat dan Sultan Johor, yang menjadi penentu pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN), semata-mata kerana keghairahan mereka untuk mendapatkan kuasa,” katanya di Facebook.

Beliau berkata, Majlis Presiden Pakatan Harapan (PH) sudah memberi mesej jelas pada 27 Dis lalu bahawa tiada keperluan untuk mengadakan PRN buat masa ini.

Katanya, kesan daripada banjir melanda Johor baru-baru ini belum lagi diselesaikan apatah lagi kehadiran varian baharu Covid-19, Omicron di dunia serta Malaysia.

“PH Johor juga telah bersetuju memastikan agar kerajaan negeri pimpinan Hasni Mohammad dikekalkan bagi mengelak ketidakstabilan di Johor,” katanya.

Bagaimanapun, Andrew memberitahu jika PRN benar-benar berlaku, DAP Johor bersedia untuk menghadapinya.

“DAP telah melantik beberapa pemimpin utama termasuk Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching sebagai Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya (juga dikenali sebagai Pengarah Pilihan Raya) pada 1 Julai lalu.

“Jawatankuasa Negeri DAP Johor dan Jawatankuasa Persediaan Pilihan Raya telah berbincang dengan ahli parti di seluruh negeri untuk memastikan semua pihak bersatu menghadapi pilihan raya,” katanya memaklumkan DAP Johor juga mendapatkan khidmat nasihat daripada pemimpin kebangsaan dalam segala persiapan parti.

Sumber | FMT


............oo000oo........... 
PENAFIAN 1Media.my mengamalkan dan percaya kepada hak kebebasan bersuara selagi hak tersebut tidak disalahguna untuk memperkatakan perkara-perkara yang bertentangan dengan kebenaran, Perlembagaan Persekutuan dan Undang-Undang Negeri dan Negara. Komen dan pandangan yang diberikan adalah pandangan peribadi dan tidak semestinya melambangkan pendirian 1Media.my berkenaan mana-mana isu yang berbangkit.

No comments

Post a Comment

© all rights reserved
made with by templateszoo